Makhtar Mustapha ketika berucap merasmikan program Penjelasan Bajet 2014 dan GST kepada ketua jabatan dan pegawai agensi Kerajaan Persekutuan di Kota Bharu, Kelantan semalam. |
KOTA BHARU 28 Nov. - Sesi penerangan Bajet 2014 dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diteruskan hingga ke peringkat akar umbi di seluruh kawasan Parlimen dan daerah negeri ini bagi membantu penduduk memahami pelaksanaannya.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, program penerangan secara bersiri itu khususnya mengenai GST adalah penting untuk menangani persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada kerajaan.
Beliau berkata, program itu akan dikelolakan pihak Jabatan Penerangan Negeri Kelantan sebagai persediaan menjelang pelaksanaan GST pada April 2015 nanti.
"Kita mahu memberi penerangan terperinci dalam bahasa yang mudah kepada rakyat kerana ramai yang masih keliru dan bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan harga barang semakin mahal.
"Penduduk Kelantan khususnya banyak dimomokkan dengan tanggapan negatif tentang segala perancangan dan projek yang kerajaan laksanakan, jadi sesi penerangan sebegini penting untuk menangani persepsi sebegitu.
"Kerajaan sebenarnya sentiasa berusaha keras memastikan kebajikan rakyat dalam segenap sudut termasuk mengenakan kadar cukai yang rendah kerana faedahnya rakyat dapat membeli barang dengan harga murah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Penjelasan Bajet 2014 dan GST kepada ketua jabatan dan pegawai agensi kerajaan Persekutuan di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Makhtar memberitahu, kerajaan dalam Bajet 2014 memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk pelaksanaan 163 projek di negeri Kelantan termasuk projek sambungan dari Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan antara projek besar adalah menaiktaraf Hospital Kuala Krai dan pembinaan Hospital Bachok di Tangok, Bachok.
Beliau berharap kesemua 70,000 kakitangan Kerajaan Persekutuan di negeri ini dapat menjadi kader yang efektif dalam menyampaikan maklumat tentang inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
"Kita sentiasa berperang dengan persepsi contohnya semasa pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra 2 yang didakwa retak, bocor dan sebagainya hanya kerana pihak tertentu mencari kesalahan kecil untuk membangkitkan kemarahan rakyat.
"Namun, kita gembira kerana jambatan dengan kos RM180 juta itu sudah siap dan kita sendiri dapat lihat bagaimana ia memberi manfaat yang amat besar khususnya kepada penduduk daerah Pasir Mas dan Tumpat," katanya.
Sementara itu, salah seorang penceramah, Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Raizam Mustapha berkata, pelaksanaan GST adalah satu penambahbaikan yang amat penting kepada sistem percukaian negara yang bakal memberi manfaat kepada semua golongan termasuk pedagang dan pengguna.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20131129/wt_02/Sesi-penerangan-GST-diteruskan-ke-akar-umbi#ixzz2lzPW5TZc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment