GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 25, 2013

Jangan takut GST


Publication: HM
Date of publication: Nov 23, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 024
Byline / Author: Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Tindakan pihak kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 2015 terus mencetuskan pelbagai reaksi, spekulasi serta tohmahan, tuduhan dan juga fitnah.

Pihak yang tidak bersetuju dengan GST ini, yang tidak dapat melihat kebaikan GST dalam konteks lebih luas dan kebaikan jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negara terus mengelirukan masyarakat agar rakyat marah dan benci dengan tindakan kerajaan itu.

Ternyata kebanyakan daripada kita lebih kepada mendengar cakap orang, terikut-ikut dengan cerita yang dibawa dan dicanangkan oleh satu pihak saja tanpa membuka mata dan minda untuk mengkaji sejauh mana segala tuduhan terbabit ada nilai kebenaran di sebaliknya.

Sewajarnya sebagai masyarakat yang matang kita perlu menilai terlebih dulu sesuatu polisi mahupun dasar yang diperkenalkan pihak kerajaan sebelum menjatuhkan hukumannya. Bak kata pepatah Inggeris 'don't judge a book by its cover'.

Dalam hal seperti ini kita perlu tolak jauh mainan emosi dan perasaan yang cuba ditanamkan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik dan kepentingan peribadi.

Hakikatnya GST hanya akan berkuat kuasa pada 1 April 2015 maka kita masih mempunyai masa yang secukupnya untuk menilai segala kebaikan dan kelemahan GST ini seterusnya boleh memajukan maklum balas mahupun cadangan kepada pihak kerajaan sebelum dilaksanakan kelak.

Kita yakin kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas daripada rakyat. Penulis percaya masih ramai dalam kalangan kita belum memahami maksud sebenar GST serta kenapa ia perlu diperkenalkan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2014 mengemukakan cadangan kerajaan memansuhkan cukai jualan dan perkhidmatan dan digantikannya dengan GST mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

GST adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan.

Cukai ini dibayar apabila pengguna berbelanja. GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (CJP) yang sedia ada sekarang. Secara prinsipnya GST untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih efektif, efisien, telus dan mesra perniagaan.

Hakikatnya GST adalah sistem percukaian lebih baik dan lebih adil berbanding CJP. Antara faedah nyataGST ialah, dapat mengurangkan kos perniagaan. Rakyat kita yang terbabit dalam dunia perniagaan pasti akan memperoleh manfaat besar melalui GST ini.

Misalnya di bawah CJP peniaga tidak dapat menuntut sepenuhnya cukai yang dibayar ke atas input perniagaan. Namun, dengan GST, peniaga akan mendapat manfaat kerana boleh mendapatkan semula cukai input ke atas bahan mentah/barang dan perkhidmatan di setiap peringkat perniagaan.

Ringkasnya, situasi ini membolehkan kos perniagaan menjadi lebih rendah. Dalam hal ini, isu yang sering dibangkitkan malah mengelirukan majoriti rakyat ialah apakah pengurangan kos perniagaan itu perlu dan akan ditanggung pula oleh pengguna?

Jawapannya tidak kerana kita perlu ingat bahawa GST menghapuskan cukai bertindih di bawah CJP. Justeru, pengguna akan membayar harga lebih berpatutan untuk kebanyakan barang dan perkhidmatan di bawah GST.

GST lebih telus daripada CJP kerana pengguna akan tahu sama ada barang yang dibeli atau perkhidmatan diperolehi tertakluk kepada cukai dan amaun cukai perlu dibayar.

Hakikatnya selepas mengambil kira senario semasa di peringkat serantau dan global pengenalan GSTdilihat sebagai satu keperluan dan bukan lagi pilihan.

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid, Malaysia berada dalam zon kritikal sekiranya tidak melaksanakan GST kerana ia keperluan signifikan kerajaan, selain mempunyai kesan jangka panjang.

Tambah beliau lagi, GST secara umumnya lebih meringankan bebanan rakyat berbanding cukai jualan dan perkhidmatan yang dilaksanakan di premis premium dan premis perkhidmatan selama ini.

Kita juga perlu ambil peringatan dan pengalaman negara luar dalam hal ini di mana kebanyakan negara maju dan serantau sudah lama melaksanakan sistem cukai ini. Sehingga kini, lebih 160 negara di seluruh dunia melaksanakan GST di negara masing-masing.

Antara negara maju yang sudah pun melaksanakan GST adalah United Kingdom, Jepun, Jerman, Sweden, Belanda, Denmark dan Singapura. Di ASEAN hanya Malaysia, Myanmar dan Brunei belum melaksanakannya.

Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

No comments:

Post a Comment