GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 25, 2013

Elak cukai khianati negara


2013/11/25 - 07:25:26 AM 
Najib berucap pada majlis perasmian Seminar Pemerkasaan Ekonomi
Nasional di ibu negara, semalam. - Foto Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan rakyat yang mengelak daripada membayar cukai sebagai pengkhianat negara.

Perdana Menteri berkata, kewajipan membayar cukai satu daripada semangat patriotik, iaitu melaksanakan tanggungjawab kepada negara demi kebaikan semua. 

Patriotisme tidak semestinya hanya dengan menghunus senjata untuk mempertahankan tanah air, katanya. 

“Saya tidak pernah sebut sebelum ini. Apa definisi patriotisme? Apabila kita melunaskan tanggungjawab kepada negara demi kebaikan semua. Kalau kita boleh meng-hunuskan senjata (untuk membela tanah air), hunuskanlah.

“Kewajipan membayar cukai juga adalah patriotisme. Mengelak daripada membayar cukai adalah pengkhianatan kepada negara,” katanya berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi Sekretariat PENA, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dan Ketua Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera Jabatan Perdana Menteri, Husni Salleh.

Seminar sehari itu memberi penjelasan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat mengenai Cukai Barangan serta Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015, Bajet 2014 dan Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera. 
Program itu adalah yang pertama dalam siri penerangan ke seluruh negara sehingga Februari depan.

Ia dimulakan dengan Khazali memberi penjelasan mengenai kesan GST terhadap masyarakat, diikuti penjelasan mengenai Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera oleh Husni.

Biaya program

Najib berkata, daripada 14 juta tenaga kerja di negara ini, hanya 1.34 juta atau 10 peratus yang layak membayar cukai dan hasil pendapatan kerajaan itu diguna untuk melaksanakan pelbagai program ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan sosial rakyat.

“Kita nak jalan raya baru, sekolah dan universiti baru dan ini memerlukan peruntukan lebih, jadi kita tidak boleh tidak ada hasil, kalau tidak siapa hendak bayar semua ini.

“Pilihannya adalah dengan membuat pinjaman, tetapi kalau asyik pinjam apa akan jadi, tidak terbayar kita, rating negara akan menurun, kita akan muflis, rakyat susah, kita tidak boleh uruskan negara macam ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat tidak perlu takut dengan GST. 

“Kalau harga barangan naik pun, hanya sedikit. Hendak kata harga barang tidak naik langsung, itu mustahil. Saya jamin rakyat akan mendapat faedah GST,” katanya. 

Mengenai Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera, Najib berkata, ketika ditemubual CNN di London, baru-baru ini, beliau menjelaskan, 67 peratus penduduk negara ini adalah Bumiputera dengan 59 peratus daripadanya Bumiputera Islam yang perlu diberikan keadilan untuk berkongsi peluang ekonomi dengan kaum lain.

Keadilan sosial

“Apa akan jadi kalau golongan majoriti ini terpinggir? Sudah tentulah tidak wujud keadilan sosial dan sama sekali tidak akan memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi pada masa depan.

“Kita hendak tolong Bumiputera yang rajin bekerja. Falsafah keadilan untuk semua bangsa sudah ditentukan dalam Islam. 

“Adakah anak yang dilahirkan Ulu Jerantut mendapat peluang untuk berjaya sama dengan anak yang dilahirkan di Damansara? 

“Sudah tentu tidak. Oleh itu, kita harus menyediakan peluang yang sama rata,” katanya.

No comments:

Post a Comment