GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 25, 2013

Elak bayar cukai dianggap pengkhianat negara, kata Najib


NOVEMBER 24, 2013
LATEST UPDATE: NOVEMBER 24, 2013 08:32 PM


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) berkata mereka yang mengelak daripada membayar cukai boleh dianggap melakukan pengkhianatan kepada negara.

Ini kerana, katanya kewajipan membayar cukai merupakan satu daripada semangat patriotisme terhadap negara.

"Definisi patriotisme dalam negara kita ialah apabila kita melunaskan tanggungjawab kepada negara untuk kebaikan negara dan rakyat.

"Bila bayar cukai kita tolong rakyat, kita tanamkan semangat ini, dengan ini negara kita akan lebih berjaya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri

Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri

Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang juga Pengerusi Sekretariat Pena.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 kerana ia adalah untuk kebaikan rakyat dan masa depan negara.

"Kebaikannya ialah kita akan mempunyai sumber kewangan dan hasil yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negara dan rakyat akan lebih bahagia kerana berdasarkan sumberlah, negara akan menjadi maju," katanya.

Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara terutamanya dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.

"Kalau kita lihat perjalanan negara kita, cuba kita bayangkan dalam sejenak bagaimana hala tuju perkembangan negara kita, dalam keadaan sebuah negara di mana kampung-kampung tradisional, bandar-bandar kecil bertukar wajah.

"Kita nak jalan raya baru, sekolah dan universiti yang baru dan ini memerlukan peruntukan yang lebih, jadi kita tidak boleh tidak ada hasil, kalau tidak siapa hendak bayar semua ini.

"Pilihannya adalah dengan membuat pinjaman, tetapi kalau asyik pinjam apa akan jadi, tidak terbayar kita, rating negara kita akan menurun, kita akan muflis, semua rakyat susah, kita tidak boleh uruskan negara macam ini," katanya.

GST yang diumumkan Najib pada Bajet 2014 bulan lepas akan hanya mengenakan kadar 6%, berbanding Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dikenakan pada masa ini dengan masing-masing pada kadar 10% dan 6%.

Najib turut membidas pembangkang yang menjanjikan pelbagai perkara termasuk ada ketikanya menentang pelaksanaan GST tetapi kemudian menyokongnya kembali dengan syarat ia dilaksanakan setelah kerajaan menutup semua ketirisan.

"Kita tadbir negara mestilah ada 'sense of responsibility', kita akui mungkin ada ketirisan tetapi kita mempunyai iltizam untuk memperbetulkan sebab itu kita bentangkan secara umum Laporan Audit, mana ada negara yang sempurna," katanya.

Mengenai agenda pemerkasaan Bumiputera, beliau berkata ia menjadi agenda nasional bagi memastikan kelompok Bumiputera dapat berkongsi kekayaan negara secara adil dan saksama.

Seminar sehari yang dianjurkan Sekretariat Pena itu bertujuan memberi kefahaman dan penerangan mengenai GST, intipati Bajet 2014 dan agenda pemerkasaan Bumiputera. - Bernama, 24 November, 2013.

No comments:

Post a Comment