GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, November 28, 2013

Pengkhianat negara


Publication: HM
Date of publication: Nov 25, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 016
Byline / Author: Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan rakyat yang mengelak membayar cukai walaupun layak berbuat demikian boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.

Ini kerana, katanya, membayar cukai juga termasuk dalam satu dasar dan prinsip patriotsme sama seperti mereka yang berjuang menjaga keamanan dan menegakkan kedaulatan negara.

"Dengan membayar cukai, rakyat membantu negara meneruskan kelangsungan pembangunan ekonomi bagi mengukuhkan negara. Apabila kita lunaskan tanggungjawab untuk negara, itu satu semangat patriotik.

"Bila bayar cukai kita tolong rakyat dan tolong negara, kita tanamkan semangat ini, dengan ini negara kita lebih berjaya," katanya ketika berucap pada perasmian penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (PENA) di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang juga Pengerusi Sekretariat PENA.

Seminar pertama daripada 15 siri itu membincangkan tiga perkara utama iaitu kebaikan sistem cukai GST, Bajet 2014 serta perbincangan berhubung Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Siri jelajah PENA diteruskan di peringkat negeri bagi membincangkan serta memberi penjelasan tiga perkara utama yang dijangka dilaksanakan sehingga Februari tahun depan.

Mengulas lebih lanjut mengenai isu GST, Najib berkata, dengan pelaksanaannya negara mempunyai sumber kewangan dan hasil lebih baik untuk memacu pembangunan negara.

Beliau berkata dalam menuju ke arah negara maju pada 2020, Malaysia perlu mempunyai sumber tambahan bagi menampung segala keperluan negara terutama dalam membangunkan kemudahan infrastruktur.

"Kalau kita lihat perjalanan negara kita, cuba kita bayangkan sejenak bagaimana hala tuju perkembangan negara kita, dalam keadaan sebuah negara yang mana kampung tradisional, bandar kecil bertukar wajah.

"Kita nak jalan raya baru, sekolah dan universiti baru dan ini memerlukan peruntukan yang lebih, jadi kita tidak boleh tidak ada hasil, kalau tidak siapa hendak bayar semua ini.

"Pilihannya dengan membuat pinjaman, tetapi kalau asyik pinjam apa akan jadi, tidak terbayar kita, rating negara kita menurun, kita akan muflis, semua rakyat susah, kita tidak boleh uruskan negara macam ini," katanya.

Mengenai Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Najib berkata, pembangunan ekonomi Bumiputera bukan bersifat rasis, sebaliknya segala pelan agenda yang direncanakan untuk Bumiputera adalah agenda nasional.

Beliau menegaskan tidak wujud keadilan sosial jangka panjang jika kaum majoriti di negara ini termasuk golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak tidak diberikan perkongsian kekayaan negara secara adil walaupun hak dan tuntutan kumpulan minoriti didengari.

"Kalau kelompok ini (Bumiputera) kelompok majoriti, tidak dapat perkongsian kekayaan negara secara adil dan saksama, bererti ini bukan keadilan sosial dan tidak menyumbang kepada kestabilan jangka panjang negara kita.

"Jangan sebut 'affirmative action' (layanan sama rata) pada golongan minoriti saja. Apa akan terjadi kepada negara ini jika golongan majoriti terbiar dan dipinggirkan," katanya.

No comments:

Post a Comment