GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 29, 2013

Harga hartanah naik sederhana kesan RPGT


Publication: BH
Date of publication: Nov 28, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 004

Harga hartanah tempatan dijangka meningkat sehingga enam peratus tahun depan, kata Pengarah Negara HomeGuru Sdn Bhd, Gerard Kho.

Beliau berkata, kenaikan sederhana seperti unjuran tahun ini iaitu sekitar lima hingga enam peratus adalah susulan pelaksanaan Kadar Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) dan larangan penggunaan Skim Tanggungan Faedah oleh Pemaju (DIBS).

Kurang aktiviti pembinaan

Katanya, pelaksanaan RPGT dan pemansuhan DIBS bermula tahun depan akan meredakan pasaran serta mengurangkan aktiviti pembangunan oleh pemaju sedangkan permintaan kekal kukuh sekali gus menyebabkan harga hartanah meningkat secara sederhana.

"RPGT tidak akan mengekang kenaikan harga sebaliknya akan mengurangkan aktiviti spekulasi. Ia bagaimanapun memberi impak positif iaitu meningkatkan penyertaan pembeli sebenar dalam industri hartanah," katanya kepada media selepas Forum Prospek Pemaju Hartanah PropertyGuru 2014 di Petaling Jaya, semalam.

Forum anjuran HomeGuru, pengendali portal hartanah terkemuka, PropertyGuru.com.my menampilkan tujuh panel antaranya Pengurus Besar Trinity Group, C Y Ng; Pengarah Urusan Andaman Group, Datuk Seri Dr Vincent Teow; Ketua Eksekutif Zerin Properties, Previndran Singhe; Ketua Pegawai Operasi Henry Butcher Malaysia, Tan Chee Meng; Timbalan Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Perak, Raymond Chan; dan Ketua Eksekutif Dynasty View Sdn Bhd, K K Wong.

Naik 30 peratus

Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan lalu, kerajaan akan menaikkan RPGT kepada 30 peratus bagi hartanah yang dijual dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus.

Ia adalah bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil serta mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan.

Bagi pemansuhan DIBS pula, ia dibuat selepas mendapati pemaju perumahan menggunakan pelbagai taktik menerusi skim seumpama ini untuk mengaburi pembeli dan menarik perhatian orang ramai bagi melariskan produk hartanah mereka.

Sementara itu, Wong berkata, langkah kerajaan menggalakkan pembinaan rumah mampu milik akan menyebabkan lambakan hartanah berkenaan di pasaran tetapi ia adalah petanda positif jika berlaku.

Katanya, lambakan rumah mampu milik yang dibangunkan pemaju akan meningkatkan akses pembeli kepada hartanah berkenaan.

"Ia (lambakan) bagus kerana pada masa ini permintaan untuk rumah mampu milik melebihi penawaran. Malah, Malaysia juga masih memiliki tanah yang boleh dibangunkan kediaman jenis itu," katanya.

Sementara itu, forum kali kedua dianjurkan PropertyGuru.com.my menyentuh pelbagai topik penting sektor hartanah termasuk RPGT, DIBS, GST dan projek hartanah mampu milik.

No comments:

Post a Comment