GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 25, 2013

Hutang diurus cara berhemah


Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
pengarang@utusan.com.my

IPOH 24 Nov. - Hutang negara masih berada pada situasi yang boleh diuruskan dan belum sampai ke tahap membimbangkan seperti di Greece dan Ireland yang mengalami krisis hutang.

Menurut bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), usaha kerajaan menurunkan defisit menjelang 2020 dan mengehadkan paras hutang negara di bawah 55 peratus merupakan satu langkah berhemah untuk memastikan hutang negara diuruskan dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, tindakan kerajaan memperluaskan asas cukai melalui pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga boleh membantu menambah pendapatan dengan syarat ia bermula pada kadar rendah dan dijamin dengan pengecualian kepada barangan utama bagi mengelakkan kesan regresif terhadap golongan berpendapatan rendah.

"Kita tahu penekanan bagi hutang negara yang mapan ialah hutang negara campur pinjaman terkumpul oleh institusi perbankan mesti tidak boleh melebihi lima kali ganda jumlah keseluruhan pendapatan negara dan aliran masuk asing dalam sesuatu tahun. Malaysia belum dekat pun dengan tahap itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk The Economic Reality of Malaysia Today (Realiti Ekonomi Malaysia Hari Ini) dalam program anjuran The Perak Academy, di sini malam tadi.

Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kadar hutang isi rumah di negara ini yang kini sampai ke peringkat yang membimbangkan.

Katanya, pada 2012 sebanyak 44 peratus pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang berbanding 39.1 peratus pada 2006.

"Ini membimbangkan kerana peraturan paling asas mencadangkan nisbah pembayaran hutang optimum mesti berada sekitar 30 peratus dan tidak melebihi 40 peratus.

"Kadar hutang isi rumah rakyat Malaysia yang lebih tinggi daripada paras optimum bermakna mereka lebih sensitif kepada kejutan pendapatan dan pelarasan kadar faedah pinjaman. Golongan berpendapatan rendah yang paling terdedah kepada kejutan ini," katanya.

Tengku Razaleigh juga berkata, cabaran untuk Malaysia menuju negara maju pada 2020 ialah kemampuan ekonomi negara mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dan berpendapatan tinggi kepada rakyat.

Beliau berkata, pekerjaan tersebut khususnya di sektor buruh untuk mereka yang mempunyai kelulusan pendidikan yang tinggi dan bukannya pekerjaan bergaji rendah yang kini diisi oleh pekerja asing di sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan berasaskan pemasangan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment