GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, November 25, 2013

Bukan penumpang


Publication: HM
Date of publication: Nov 23, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 033
Byline / Author: Oleh Hairulazim Mahmud; Maiamalina Mohamed Amin

Shah Alam: PAS menegaskan kewujudan dan kerjasama parti itu dalam pakatan pembangkang bukan sekadar penumpang semata-mata dan akan diteruskan serta ia keputusan muktamad.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya menegaskan parti berkenaan akan terus menjadi rakan aktif dalam pakatan pembangkang bagi membawa mesej Rahmat Untuk Semua.

"Begitu juga rakan-rakan kita juga bukan penumpang, tetapi semua parti dalam pakatan penggerak bersama memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik ini ke tahap yang lebih maju seterusnya memikul amanah yang berat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk, Rahmat Untuk Semua pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati di sini, semalam.

Seramai 1,129 perwakilan hadir pada perhimpunan tahunan yang turut memilih barisan kepemimpinan baru parti bagi penggal 2013-2016.

Polemik isu tahaluf siyasi sudah diduga dibangkitkan pada muktamar kali ini termasuk pada muktamar peringkat sayap parti berikutan masih ramai ahli tidak berpuas hati mengenai pelaksanaannya.

Abdul Hadi berkata, dalam keadaan kekurangan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, parti itu masih mampu bertahan dengan undi popular bertambah hingga menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan minoriti berdasarkan sokongan pengundi.

Katanya, BN mempunyai majoriti jumlah kerusi Parlimen kerana sistem 'First past the post'.

Beliau berkata, kekalahan PAS di Kedah wajar diteladani, tetapi jangan situasi itu melemahkan semangat hingga lupa hakikat perjuangan sebenar.

"Kita wajib muhasabah diri sendiri secara dalaman, bukan hanya menjadikan lawan saja sebagai penyebab kekalahan kita," katanya.

Menurutnya, untuk masyarakat bukan Islam, semua jentera parti mestilah mendekati dan memberikan penjelasan supaya mereka memahami mesej dibawa PAS.

Katanya, rakyat pula wajar diberi ruang seluas-luasnya untuk mendalami ilmu dan mewujudkan suasana beragama dalam kehidupan.

Mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), beliau menegaskan PAS konsisten menentang pelaksanaannya kerana ia boleh melemahkan masa depan ekonomi negara.

Katanya, hal itu kerana GST memberikan kelemahan kuasa membeli rakyat sedangkan ketirisan dan penyalahgunaan dana negara masih berleluasa.

Pada sidang media selepas itu, berkaitan isu tahaluf siyasi, Abdul Hadi mengakui masih ada ahli parti yang tidak jelas mengenainya.

No comments:

Post a Comment