GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, February 24, 2014

STATUS CUKAI 250 BARANG DIKAJI


2014/02/21 - 04:52:31 AM Oleh Ahmad Fiesal Othman

Datuk Seri Ahmad Husni HanadzlahKerajaan sedang mengkaji 250 barangan yang ketika ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus sama ada akan dikenakan cukai atau tidak di bawah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata buat masa ini senarai barangan yang dikenakan GST belum dimuktamadkan kerana masih pada peringkat perincian dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat, April ini.

75 peratus dikenakan SST

Beliau berkata, daripada lebih 900 barangan yang ketika ini termasuk dalam senarai dikenakan GST, 700 atau kira-kira 75 peratus daripadanya dikenakan SST sebanyak 10 peratus dan apabila GST dilaksanakan, barangan terbabit hanya dikenakan cukai enam peratus.

"Bagi 250 barangan di bawah SST itu, kajian sedang dibuat sama dikenakan GST atau tidak, namun yang membabitkan barangan keperluan tidak akan dikenakan cukai," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Forum GST anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM) di Kuala Lumpur, semalam.

Kerajaan akan menguatkuasakan GST sebanyak enam peratus bagi menggantikan SST yang kebiasaannya mengenakan cukai antara lima hingga 10 peratus bagi setiap cukai jualan atau perkhidmatan serta maksimum 16 peratus bagi SST cukai ke atas barang dan perkhidmatan tertentu.

Pelaksanaan GST akan membolehkan kerajaan memperoleh lebih pendapatan untuk diberikan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Husni berkata, kerajaan amat menyedari impak GST terhadap golongan berpendapatan rendah. Berdasarkan anggaran, rakyat berpendapatan RM2,000 sebulan mungkin akan mengalami pertambahan perbelanjaan cukai sebanyak RM15.06 atau 2.6 peratus daripada perbelanjaan mereka.

Bagaimanapun, katanya, bagi membantu golongan terbabit, kerajaan akan menyediakan bantuan tunai sekali saja untuk individu sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Bantuan lain untuk individu termasuk menurunkan kadar cukai pendapatan individu antara 0.5 peratus hingga tiga peratus kepada semua yang tergolong dalam kumpulan dikenakan cukai dan menaikkan had pendapatan mereka yang layak mendapat penurunan kadar cukai itu kepada RM400,000 daripada RM100,000," katanya.

Selain, Husni berkata, sektor perniagaan juga akan menerima bantuan daripada kerajaan, antaranya termasuk insentif cukai, geran latihan dan pengurangan cukai korporat sebanyak satu peratus daripada 25 peratus kepada 24 peratus.

No comments:

Post a Comment