GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, February 28, 2014

GST tidak bebankan rakyat


FEBRUARY 27, 2014

Cadangan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berdasarkan kepada penggunaan dengan beberapa pengecualian tidak membebankan rakyat.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ini kerana bukan semua jenis barang dan perkhidmatan dikenakan GST, sekaligus menjadikan harga barangan keperluan sentiasa dikawal dan tidak membebankan masyarakat.

"Sebenarnya banyak pengguna yang tidak sedar, sebelum GST dilaksanakan lagi mereka ini telah pun dikenakan cukai seperti pembelian kereta, pakaian dan makanan di restoran dan juga barangan import," katanya kepada Bernama.

GST MENYELURUH DAN ADIL

Beliau berpendapat GST dengan kadar 6%, berkuatkuasa 1 April 2015, adalah satu sistem percukaian yang lebih menyeluruh dan adil.

Kadar GST yang dicadangkan itu adalah jauh lebih rendah daripada yang dikenakan di negara-negara lain yang menerima pakai sistem cukai itu, sebagai contoh Singapura mengenakan 7% manakala India mengenakan 14.5% Cukai Nilai Tambah (VAT).

Yang sedemikian, kata Mohd Yusof rakyat tidak seharusnya termakan dengan momokan pihak tertentu kononnya GST, yang menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), akan lebih membebankan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2014 lepas berkata kerajaan mendapati SST sebanyak 16 peratus pada masa ini, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga.

Najib mengumumkan GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, cili, rempah ratus, ikan masin, perkasam, cencalok, budu dan belacan serta bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah juga tidak dikenakan GST.

Bagi perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih, dikecualikan daripada GST.

ANTARA SST DAN GST

Apakah bezanya antara SST dan GST?

GST adalah merupakan cukai kepenggunaan yang berasaskan kepada konsep nilai ditambah. Ia dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk barang dan perkhidmatan diimport.

Perbezaan GST dengan sistem cukai kepenggunaan sedia ada hanyalah daripada segi skop pengenaan cukai yang lebih meluas iaitu di semua peringkat pengeluaran dan pengedaran.

Berbanding dengan sistem cukai kepenggunaan sedia ada, cukai jualan hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang-barang dikeluarkan daripada kilang atau diimport. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu yang disediakan kepada pengguna.

GST LEBIH TELUS

Mohd Yusof, yang juga Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, berkata GST adalah lebih telus berbanding SST dan ia berupaya mengawal para peniaga termasuk mereka yang sebelum ini tidak membayar cukai supaya membayar cukai.

"Melalui SST, pengguna terpaksa membayar cukai berganda ke atas barangan dan perkhidmatan, dan mengandungi elemen cukai yang tidak dinyatakan kepada pengguna," katanya.

GST hanya boleh dicaj serta dipungut oleh peniaga yang memperoleh nilai jualan tahunan RM500,000 diwajibkan mendaftar di bawah GST.

GST yang dipungut ke atas penjualan atau pembekalan barang dan perkhidmatan, perlu diremitkan kepada kerajaan. Peniaga juga dibenarkan untuk menuntut semula kredit cukai input melalui mekanisme dan kaedah yang ditetapkan.

AKTA JAGA KEPENTINGAN PENGGUNA

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata orang ramai dan pihak berkepentingan boleh memberikan cadangan dan maklum balas untuk diperhalusi kerajaan sebelum GST dilaksanakan.

"GST memang perlu dibuat. Ini kerana kerajaan kerugian dalam percukaian kerana ada yang tidak membayar cukai dan ada pihak yang tidak memberi perkhidmatan pun, tetapi caj dikenakan kepada rakyat," katanya kepada Bernama.

Menyatakan bahawa kerajaan komited menjaga kepentingan pengguna menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengawal peniaga yang bertindak mengambil untung berlebihan, Razali berkata akan ada akta lain yang turut melindungi pengguna selain mengawal kenaikan mendadak harga barangan setelah GST dilaksanakan. - Bernama, 27 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment