GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, February 28, 2014

Rang Undang-Undang GST dibentang 10 Mac


Publication: BH
Date of publication: Feb 27, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014, akan dibentangkan pada persidangan Parlimen, 10 Mac ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata proses penyediaan rang undang-undang itu kini pada peringkat akhir dan sedang disemak Peguam Negara.

Beliau berkata, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dijangka membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali pertama, kedua dan ketiga.

"Kita (kerajaan) perlu membentangkan rang undang-undang ini di Parlimen tahun ini juga kerana jika tidak,GST tidak dapat dilaksanakan tahun depan.

Debat undang-undang

"Sudah tentu ia (rang undang-undang itu) akan didebatkan oleh semua anggota Parlimen," katanya selepas merasmikan Forum GST Malaysia: Pengajaran dari United Kingdom dan Singapura anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS) di sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Simon Featherstone, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong dan Pengerusi ISIS Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Pada pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaanGST berkuat kuasa pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan, yang kini dikenakan sebanyak lima dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan iaitu sebanyak enam peratus.

Ahmad berkata, apabila GST dilaksanakan, akan wujud sedikit peningkatan harga pada tahun pertama ia dilaksanakan berdasarkan pengalaman negara yang sudah melaksanakan sistem cukai itu.

Bantuan tambahan

Katanya, bagi mengurangkan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah terhadap impak peningkatan harga itu, kerajaan akan memberi bantuan kewangan tambahan RM300 daripada jumlah yang ditetapkan bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) susulan pelaksanaan GST itu.

"Kita akan ada BR1M khas RM300 yang akan diumumkan dalam Bajet 2015. Seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, apa juga jumlah BR1M yang akan diluluskan pada tahun depan, di atas jumlah itu akan ditambah RM300," katanya.

No comments:

Post a Comment