GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, February 28, 2014

Pakar dari UK saran struktur GST dipermudah


26 Februari 2014

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mewujudkan struktur cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam bentuk yang mudah bagi menyenangkan pelaksanaannya, kata seorang pakar dari UK.

Pengurus Polisi Kanan VAT di HM Hasil dan Kastam (Jabatan Kastam dan Eksais UK) Andrew Webb berkata, GST adalah satu daripada mekanisme percukaian paling efisien di dunia.

Bagaimanapun, katanya, jika struktur cukai itu terlalu rumit, ia akan menjejaskan sistem berkenaan.

"Malaysia perlu mewujudkan cukai itu semudah mungkin - tidak terlalu banyak kadar dan pengecualian kerana ia akan merosakkan sistem itu," katanya kepada pemberita di Forum Nasional Mengenai GST Malaysia: Kemungkinan Pengajaran dari UK dan Singapura, di sini hari ini.

Webb, seorang daripada penceramah di forum itu berkata, kerajaan melalui pihak berkuasa percukaiannya perlu sering berbincang dengan komuniti perniagaan dan persatuan perniagaan bagi memupuk kepercayaan dan kefahaman antara satu sama lain.

Melalui usaha itu, katanya, ia akan membantu menjadikan transaksi dan pelaksanaan GST lebih mudah.

"Sebarang bentuk cukai dalam dunia ini pada keseluruhannya bergantung kepada perniagaan untuk membantu sistem berkenaan kerana ia adalah satu kontrak. Jika mereka tidak mematuhi kontrak, seluruh sistem akan musnah," katanya.

Webb berkata, GST (juga dikenali sebagai Cukai Tambah Nilai (VAT) di sesetengah negara) adalah sistem percukaian terbaik dan pengumpul hasil yang sangat penting.

Menurutnya, sebanyak 158 negara telah melaksanakan sistem itu, termasuk 28 negara di Kesatuan Eropah.

"Jika GST merupakan sistem percukaian yang lemah, mereka tidak akan melaksanakannya. Di UK, perniagaan besar menyumbangkan jumlah yang besar kepada hasil VAT.

"VAT adalah cukai penting untuk UK dan ia merupakan sumber hasil yang boleh diharap dan stabil kepada kerajaan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Timbalan Pesuruhjaya bahagian Antarabangsa, Penyiasatan dan Kumpulan Dicukai Secara Tidak Langsung, Pihak Berkuasa Hasil Dalam Negeri Singapura, Chia-Tern Huey Min, berkata kumpulan berpendapatan tinggi serta warga asing menyumbangkan lebih daripada 80 peratus kutipan GST di republik berkenaan.- Bernama

No comments:

Post a Comment