Publication: BM
Date of publication: Feb 23, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Mohd Azis Ngah; Rohaniza Idris
Selama ini, apabila mahasiswa bersuara, kerap dilabel sebagai antikerajaan, sebenarnya apa yang disuarakan itu berkaitan isu yang ada kepentingan dalam masyarakat. Mahasiswa tidak menentang sesuatu dasar kerajaan secara membuta tuli, sebaliknya berasaskan fakta serta penyelidikan. Ikuti temu bual wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan ROHANIZA IDRIS bersama Presiden Persatuan Mahasiswa, Universiti Malaya (PMUM), Muhammad Kamarul Setapa dan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Mustapha Kamil Husen Abd Kadir.
Muhammad Kamarul Setapa
S: Pemimpin mahasiswa dilihat kurang bermaya, agak tenggelam berbanding dulu apabila berdepan pelbagai isu dalam masyarakat termasuk membabitkan pelajar. Apa pandangan saudara?
J: Sejak era 1960-an hingga 1974, keadaan semakin berubah, apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) ditubuhkan dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) diperkenalkan Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di Universiti Malaya. Ketika kemuncak kebangkitan mahasiswa sehingga awal 1970-an, ia bergerak dalam konteks UMSU (Kesatuan Pelajar Universiti Malaysia). Sejak 1980-an hingga 1990-an, sikap agresif mahasiswa semakin menurun. Cabang agresif itulah yang diperlukan mahasiswa untuk menjadi 'pengimbang'. Cuma bagaimana ia diseimbangkan. Jika MPUM tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan, tetapi gunakan landasan lain, menyerahkan resolusi idea secara intelektual.
S: Adakah golongan agresif ini bersetuju dengan cara itu (intelektual)?
J: Golongan agresif ini menjadi pendesak sama ada kerajaan menerima atau tidak resolusi mahasiswa. Saya bukan bersetuju dalam semua perkara demonstrasi itu, tetapi golongan seperti ini kita perlukan untuk mendesak dan diseimbangkan dengan desakan intelektual.
S: Disebabkan kerap terbabit dalam perhimpunan haram, mahasiswa dilabel antikerajaan apabila bersuara.
J: Apabila bersuara, kita tak boleh katakan ia menentang kerajaan kerana jika mengikut membuta tuli ia boleh menjadi keburukan. Jika tidak, bagaimana kita hendak lihat barisan pemimpin pelapis yang mempunyai idea dan pendirian sendiri. Saya tak setuju dengan tanggapan pemilik idea berbeza dianggap penentang kerajaan. Sifat sayangkan negara itulah yang membuatkan kita ingin berkongsi idea. Perkara penting bagaimana kerajaan menerima idea mahasiswa. Kerajaan dilihat mengurus pandangan berbeza anak muda ini dalam keadaan sangat agresif. Mereka patut meraikan pandangan itu dalam konteks berbincang, berkongsi pandangan. Apabila kerajaan menjawab isu dengan cara yang membuatkan mahasiswa tidak melihatnya sebagai fakta dan hujah, itulah yang menyebabkan sikap agresif. Jika idea lebih segar orang muda dimasukkan ke dalam Kabinet yang dikuasai orang lama, akan mewujudkan perbezaan. Kita lihat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membawa idea lebih segar untuk generasi kini dan akan datang.
S: Sikap agresif termasuk demonstrasi menenggelamkan isu dibawa dan masyarakat lebih lihat keburukannya.
J: Kerajaan tidak melihat konteks sebenar dibawa sama ada golongan agresif atau intelektual. Mahasiswa yang mempunyai pandangan selari dengan pembangkang terus dilabel propembangkang. Kami tak patut dihukum begitu kerana ia boleh menjejaskan sokongan belia. Lihat apakah perjuangan sebenar. Adakah golongan kiri ini turun menentang keseluruhan kerajaan atau cuma isu tertentu. Saya pernah cadangkan kepada Khairy supaya kerajaan kerap turun padang melihat keperluan kami melalui program rasmi atau tidak. Fahami keinginan kami kerana jika kerajaan menentang, kian kuat orang muda melawan.
S: Adakah sikap mendesak ini bermusim atau mengikut isu tertentu?
J: Mahasiswa berbincang banyak isu, bukan hanya kenaikan kos hidup. Jika hendak melahirkan modal insan intelektual, perlu galakkan perkembangan minda. Mereka ambil tahu masa depan negara dan hal pentadbiran. Kerajaan mesti melihat ini secara positif dan mendidik dalam konteks intelektual. Idea yang hari ini berbeza mungkin berguna untuk masa depan.
S: Jika tidak bersetuju, perlukah sentiasa agresif, buat demonstrasi?
J: Kita kadangkala sedikit emosional kerana sayangkan negara. Kerajaan patut buka lebih ruang kepada anak muda untuk turut berbincang idea membangunkan negara. Apabila diraikan, perasaan berubah dengan anggapan mereka sebahagian daripada negara dan sebaris dengan pemimpin.
S: Jadi, mereka cuma mahu idea mereka diberi perhatian?
J: Ya, kerajaan kena berubah dalam konteks meraikan idea. Tidak boleh mudah melabel mahasiswa propembangkang jika idea mereka selari. Bagaimana hendak selesaikan trend sokongan jika tidak melihat ini sebagai perkara asas yang perlu diselesaikan. Pemimpin mesti bersifat insklusif, tak kisah berada di mana saja, bertemu kumpulan sasar termasuk mahasiswa untuk berbincang pelbagai idea pada bila-bila masa. Ia tidak mustahil tetapi mesti kikis sikap ekslusif yang menebal.
S: Adakah mahasiswa hanya menonjol dalam meluahkan perkara yang tidak dipersetujui tetapi langsung tidak menyokong dasar yang baik?
J: Saya setuju dengan persoalan ini. Mereka mencari media untuk meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi dalam keadaan menyokong, adakah mereka juga perlu cari media? Golongan agresif tadi juga perlu nyatakan sokongan kepada dasar kerajaan yang baik. Namun, kita menunggu tindak balas Kabinet, adakah mereka turun untuk jelaskan apa yang berlaku atau menyatakan aspirasi kerajaan dalam keadaan terbuka. Kadangkala mahasiswa tak faham apa yang hendak dilaksanakan kerajaan dan anggap ia memburukkan negara. Mereka menilai daripada aspek berbeza sehingga timbul konflik. Ia tidak akan selesai jika kerajaan hanya menjawab di media, kena turun bagi penerangan. Pembangkang suka jumpa mahasiswa dalam keadaan santai.
S: Apakah cadangan yang perlu dilakukan untuk jangka panjang?
J: Dua perkara penting iaitu, kerajaan perlu bersikap terbuka. Mahasiswa tak suka doktrin iaitu mesti sokong Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pula dengan doktrin mahasiswa mesti sokong mereka dengan menjanjikan pendidikan percuma. Mahasiswa lebih suka menyokong dalam keadaan tahu fakta dan hujah. Kami mahu kerajaan bersikap terbuka dengan wakil pembangkang, mahasiswa, kumpulan sasar dan sosialis dalam satu pentas perbincangan masa depan negara. Dalam keadaan cuba menyekat, mahasiswa akan melihat kerajaan cuba mengongkong. Mereka tak suka idea ditolak tanpa dibincangkan. Mesti masuk ke dalam golongan itu, iaitu meraikan perkara yang disuarakan, baru mereka faham. Jangan mengelak dengan memberikan alasan tidak munasabah. Kerap berdiskusi boleh selesaikan banyak masalah. Apabila mereka dididik dengan isu dan dasar negara, saya yakin jika BN ada aspirasi jelas, mahasiswa boleh faham. Jangan hanya turun padang ketika pilihan raya atau urusan rasmi.
S: Antara agenda yang kerap dibincangkan ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan AUKU.
J: Pindaan AUKU perkara yang sangat positif. Saya tidak setuju AUKU dihapuskan. Saya lebih bersetuju jika AUKU bersifat lebih mengawal, bukan menyekat. Mesti menjadi pengimbang tara yang mengawal dan mendidik mahasiswa. Mereka menentang kerana tidak faham. Kadang-kala mereka tidak kaji pun AUKU. Pindaan seksyen 15 bagus, tetapi masih ada perkara yang perlu diberi perhatian. Isu PTPTN percuma, dalam konteks bersifat akar umbi, kerajaan sudah tanggung 80 peratus yuran dan cuma 20 peratus ditanggung pelajar. Masalahnya, universiti bebas memasukkan pelbagai perkara dalam kadar 20 peratus itu hinggakan kita sendiri tak faham dan menjadikan yuran makin mahal. Contohnya, yuran jalur lebar yang tidak selaras dengan universiti lain. Kekeliruan isu PTPTN jadi bertambah kusut dan orang akan menuding jari kepada kerajaan.
S: Adakah betul kekangan AUKU menghalang pemimpin mahasiswa menyerlah dan menyebabkan muncul gerakan haram?
J: Saya setuju jika gerakan ini tidak ditentang dan dibawa masuk ke arus negara. Mesti melihat golongan lama ini akan diganti orang baru. Jika kerajaan tidak bersedia dengan peralihan ini, mungkin konflik lebih besar. Gerakan ini semakin mendapat sokongan dan apabila kerajaan menolak, mereka memilih pembangkang. Walaupun bukan semua isu dipersetujui, mereka turun untuk berjumpa dan berdebat. Ini tidak popular bagi BN. Kadangkala apabila kami menghantar memorandum ke kementerian, ia cuma disambut penjawat awam. Adakah menteri terlalu bersikap insklusif. Tidak salah mereka berjumpa dan menerima memorandum itu. Cuba dengar aspirasi yang kami mahukan dan jadi rakan.
S: Malaysia akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti diamalkan di negara maju.
J: Ia akan menambah kadar simpulan masalah tadi. Mereka terpaksa menerimanya dalam keadaan tiada gaji tetap. Persepsi rakyat mereka tidak melihat pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang, cuma beban yang ditanggung. Ia membuatkan mereka semakin tidak faham tindakan kerajaan. Tempoh enam tahun hendak capai Wawasan 2020, ia memang berat, tetapi bagaimana selesaikannya dalam keadaan mahasiswa menanggung beban, agresif dan orang kampung yang tak ambil peduli perkara itu.
S: Adakah semua itu perjuangan (PTPTN, AUKU, yuran) daripada mahasiswa atau pembangkang.
J: Pembangkang mengambil idea itu dan dijadikan agenda politik. Namun, saya tidak tahu apakah apabila berkuasa, mereka akan melakukannya. Kita tak tahu apakah komitmen mereka yang banyak berjanji kepada mahasiswa. Adakah mereka akan hapuskan AUKU, PTPTN dan memberi pendidikan percuma kerana mereka hanya berjanji. Tiada jaminan ia menjadi realiti.
S: Masih banyak isu perlu dijernihkan dan pembangkang memanipulasi situasi ini. Mereka menggunakan pendesak yang tidak faham dasar sebagai 'senjata' menghentam kerajaan.
J: Pembangkang pun kadangkala mendoktrin mahasiswa. Mereka memainkan isu pendidikan percuma yang cukup popular dalam kalangan mahasiswa. Jika kerajaan cuma menjawab isu itu menggunakan media, ia tidak akan menyelesaikan masalah. Kerajaan mesti masuk dalam game yang sedang berlaku. Golongan yang akan mendapat perhatian ialah pihak yang bijak mendekati generasi muda. Apabila kerajaan cuba mengelak, mereka akan semakin jauh.
Teguran, pendapat pelajar berdasarkan fakta
Mustapha Kamil
S: Selama ini, apabila pelajar atau persatuan pelajar bersuara, kerap dilabel sebagai antikerajaan, pada hal ada yang disuarakan itu berkaitan isu yang ada kepentingan dengan masyarakat. Apa komen saudara?
J: Masyarakat perlu menerima kritikan dan teguran mahasiswa kerana ia diperlukan jika masyarakat mahu berubah. Seharusnya mana-mana pihak perlu beri ruang kepada anak muda menyuarakan pendapat dan pandangan suara mahasiswa sebagai antikerajaan juga satu pendapat yang sempit. Ini pandangan lama kerana saya nampak hari ini masyarakat menerima saja pendapat yang baik tidak kira pandangan itu prokerajaan atau propembangkang.
S: Benarkah dakwaan menyatakan pemimpin pelajar kini kurang menyerlah dari segi lontaran idea untuk memajukan masyarakat. Apakah ini benar atau ada kongkongan lain?
J: Semua itu persepsi masyarakat dan mereka sering membandingkan dengan kepemimpinan terdahulu, sedangkan hakikatnya, kepemimpinan mahasiswa sekarang pendekatannya berbeza. Kayu pengukur kelantangan bukan sekadar laungan pada demokrasi jalanan seperti dilakukan kepemimpinan dulu. Mahasiswa kini jika mahu turun ke jalanan bukan sekadar membawa mainan dan tiupan emosi, kami turun dengan fakta. Ada yang melihat tindakan kami tidak selantang kepemimpinan terdahulu.
Namun, mereka perlu lihat mahasiswa kini ada pelbagai lapangan untuk melontarkan idea. Di UKM, orang membandingkan kepemimpinan sekarang dengan zaman nama besar seperti Datuk Fuad Hassan (bekas EXCO Selangor), Mustaffa Kamil Ayub (PKR) dan Datuk Razali Ibrahim (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Kini kami banyak ruang dan tidak tertumpu pada satu saluran saja, media sosial juga menjadi tempat meluahkan pandangan kami.
S: Apakah benar pelajar memang antikerajaan dan mengapa persepsi ini timbul?
J: Mahasiswa tidak boleh dilabelkan sebagai antikerajaan atau antipembangunan kerana mahasiswa kini berpengetahuan luas dan realistik, tidak membuat tuduhan membuta tuli, sebaliknya pertimbangan berdasarkan pro dan kontrak serta penilaian melalui fakta. Ruang kebebasan dengan ada pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadikan mahasiswa kini tidak lagi bertindak atas emosi sebaliknya berdasarkan fakta. Pada saya, jika tidak puas hati, pelajar perlu suarakan melalui saluran demokratik bukan sekadar rungutan dalam media sosial. Pada saya kini sudah ada harapan baru dalam sistem demokrasi di negara ini. Malaysia kini menuju kepada sistem demokrasi lebih matang.
S: Dalam isu kenaikan kos sara hidup, kita lihat agak jarang mendengar rungutan pelajar. Bagaimana saudara melihat isu ini dalam kalangan pelajar dan masyarakat. Apakah cara terbaik kerajaan menangani isu ini?
J: Memang ada rungutan mahasiswa mengenai harga barang termasuk kenaikan yuran dengan pembiayaan biasiswa yang tidak mencukupi. Namun, memandangkan tumpuan pada pelajaran, pelajar mengambil berbelanja mengikut kemampuan. Secara semula jadi, pelajar menyesuaikan diri untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun, ada juga kelompok pelajar yang marah dengan menyertai aktivis masyarakat membantah kenaikan harga, mereka ini tidak ramai. Keutamaan pelajar ialah meneruskan pengajian. Saya nampak yang membantah kenaikan harga barang pun menyokong dengan menekan butang like dalam laman sosial, itu saja.
Mungkin kerana mahasiswa belum mencari rezeki, jadi itu bukan keutamaan mereka. Jika harga yuran naik mendadak, mungkin mereka peduli dan bantahan akan kedengaran. Mengenai usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang, mahasiswa tidak nampak dengan jelas kerana kurang penerangan.
Terbaharu, Kementerian Belia dan Sukan memanggil kepemimpinan pelajar bagi memberi penerangan mengenainya, pada saya sedikit sebanyak ia membantu. Namun, ia lebih kepada cubaan mengurangkan tekanan serta mengharmonikan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Saya harap kerajaan buat penjelasan supaya masyarakat dapat gambaran sebenar dan beritahu usaha yang diambil untuk menanganinya. Jangan berikan fakta berbelit yang menimbulkan pelbagai persoalan sehingga hilangnya keyakinan kepada kerajaan. Nyatakan apa yang mahu dan sudah diambil, penjelasan perlu jelas.
S: Apa pandangan saudara mengenai isu GST kerana sistem percukaian ini diterima banyak negara di Barat dan Timur?
J: Mahasiswa kurang faham isu GST, malah pernah bertanya kastam, adakah mencukupi masa untuk melaksanakan cukai ini pada 2015, dan pegawai kanan itu mengakui belum mencukupi. Ini membimbangkan saya. Namun, melalui penyelidikan sendiri, saya mengakui GST sistem yang baik dalam menguruskan eksport, import dan percukaian dalam negara. Dalam pendapat lain, ada yang mempertikaikan kemampuannya. Ia perlukan perbincangan dan penerangan. GST kurang sesuai dilaksanakan sekarang kerana rakyat berdepan kenaikan harga barang.
Selepas pilihan raya, banyak kenaikan harga barang diumumkan kerajaan yang menambah tekanan kepada rakyat terutama golongan berpendapat rendah dan sederhana. Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, dinyatakan berlaku pelbagai ketirisan, menyebabkan kerajaan rugi. Saya lihat pola perbelanjaan kerajaan juga masih menunjukkan defisit. Justeru, kerajaan perlu atasi ketirisan ini dan pastikan perbelanjaan tidak lagi defisit sebelum laksanakan GST. Kerajaan perlu memastikan perbelanjaan pada tahap optimum dengan mengurangkan ketirisan seperti dilaporkan dalam laporan audit terdahulu.
S: Apakah langkah dilakukan kerajaan belum cukup memuaskan pelajar terutama bantuan untuk pelajar seperti buku teks, pinjaman dan kemudahan yang diberikan?
J: Saya akui banyak langkah dilaksanakan kerajaan kini mendengar permintaan masyarakat. Berkaitan mahasiswa, bantuan yang diberikan sangat membantu meringankan beban seperti pemberian baucar buku. Namun, bantuan yang diberikan perlu mapan. Seeloknya, ada inisiatif lain membantu pelajar, bukan penambahan nilai bantuan melalui pemberian duit semata-mata. Untuk jangka panjang, kerajaan perlu lihat bantuan lain yang diperlukan mahasiswa. Kita mahukan bantuan lestari.
S: Apa langkah jangka panjang yang patut kerajaan lakukan untuk masa depan generasi muda sekarang?
J: Dua isu perlu diberi perhatian iaitu pendidikan dan ekonomi. Generasi akan datang perlu lebih bijak dan ia boleh dilaksanakan melalui pendidikan. Untuk menambah mutu pendidikan, kerajaan perlu kumpul maklumat dan idea pelbagai pihak.
Kualiti dan penambahan mutu pendidikan memberi keyakinan kepada mahasiswa sebagai persediaan masuk pasaran kerja. Bercakap mengenai ekonomi, kerajaan perlu memberi jaminan ada ruang dan peluang pekerjaan yang baik untuk mahasiswa.
No comments:
Post a Comment