GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, February 24, 2014

Berbelanjalah secara berhemat


ARKIB : 22/02/2014
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
ORANG RAMAI beratur untuk menyerahkan borang BR1M yang telah siap
diisi di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pada 2011.
HARI ini 5.9 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 pasti akan tersenyum gembira kerana ada tambahan wang dalam akaun bank mereka.

Ini berikutan kerajaan telah memasukkan wang ke dalam akaun masing-masing secara serentak sebaik sahaja BR1M 2014 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Kali ini, isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah menerima wang tunai yang lebih banyak iaitu RM650 berbanding RM500 sebelum ini.

Bagi penerima kategori baharu yang diwujudkan untuk isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula, mereka sudah pasti bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang memberikan RM450.

Individu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan pula menerima RM300 berbanding RM250 sebelum ini.

Kepada dua juta penerima BR1M 2014 yang tidak mempunyai akaun bank kerana pelbagai sebab termasuk muflis, kerajaan juga tidak akan melupakan mereka.

Mereka akan menerima baucar tunai secara berperingkat-peringkat pada majlis khas yang akan diadakan di semua 222 kawasan Parlimen bermula esok. Walaupun mereka tidak dapat menerimanya dengan serta-merta, pihak kerajaan telah menyatakan komitmen untuk menyerahkannya dalam tempoh tidak melebihi 20 hari.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion untuk penerima BR1M kali ini.

Ketika pemberian BR1M 1.0 pada 2012, sebanyak 4.18 juta isi rumah telah mendapat manfaat.

Jumlah itu meningkat kepada 4.81 juta isi rumah dan dua juta individu bujang ketika BR1M 2.0 pada 2013 manakala BR1M kali ini, sebanyak lima juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang menerima habuan wang tunai.

Langkah yang dibuat oleh kerajaan memang bertepatan kerana BR1M akan diterima terus oleh golongan miskin berbanding pemberian subsidi minyak dan gula sebelum ini yang turut menguntungkan golongan kaya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataan baru-baru ini berkata, kerajaan komited untuk melakukan pengagihan dengan segera kerana sedar rakyat amat memerlukan bantuan berikutan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, pengagihan secara terus ke dalam akaun bank penerima merupakan langkah yang lebih efisien untuk memastikan pengedaran baucar yang mengambil masa selama empat bulan sebelum ini tidak terjadi lagi.

Jelasnya lagi, kerajaan turut memperkenalkan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) kepada penerima isi rumah BR1M 2014 yang melibatkan nilai perlindungan minimum RM1,000 (kematian biasa) dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

Dalam pada itu, bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid berkata, strategi jangka panjang untuk membantu rakyat keluar daripada kemiskinan perlu dirangka bagi memastikan mereka tidak bergantung kepada pemberian BR1M selama-lamanya.

Beliau berkata, BR1M hanya bermanfaat pada jangka masa pendek dan jika berterusan dalam tempoh yang lama akan menjadikan semangat rakyat untuk bekerja dan menambah pendapatan menjadi lemah.

"Kalau benar-benar hendak membantu rakyat miskin, kita kena membimbing mereka untuk berdiri di atas kaki sendiri seperti menggalakkan mereka menjalankan perniagaan. Walaupun sekecil mana perniagaan seperti menjual kuih dan pisang goreng tidak apa, asalkan mereka dapat pendapatan yang lebih," ujarnya.

Tambah beliau, semua pihak tidak harus menafikan kemiskinan masih wujud bukan sahaja di Malaysia, malah di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

"Kemiskinan adalah isu besar dan rumit yang hanya boleh dikurangkan jika semua pihak saling bekerjasama dan saya telah memberi sumbangan dengan melontar idea-idea bagi mengurangnya dalam satu artikel yang ditulis tiga tahun dahulu.

"Masalahnya banyak orang tidak suka membaca apa yang saya tulis dan tidak mahu mendengar perkataan ‘miskin’ disebut. Mereka beranggapan semua orang sekarang sudah kaya dan tiada lagi penduduk miskin di negara ini. Bagi saya pandangan berkenaan adalah karut dan hanyalah satu khayalan," katanya.

Sememangnya, banyak penambahbaikan yang telah dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu rakyat.

Kita berharap para penerima khususnya yang tinggal di bandar akan menggunakan wang bantuan secara berhemat dan berbelanja mengikut keperluan masing-masing.

Walaupun pemberian BR1M pada masa akan datang dijangka meningkat secara berperingkat-peringkat sehingga mencecah RM1,200, rakyat tidak harus alpa untuk terus bekerja kuat.

Anggaplah pemberian BR1M adalah langkah sementara untuk meringankan beban kita. Bagi memastikan negara terus maju dan makmur, rakyat tidak harus bersifat malas untuk membanting tulang empat kerat mereka.

Diharapkan juga tiada tuduhan sinis daripada pemimpin pembangkang termasuk sehingga tergamak menyamakan penerima BR1M dengan haiwan.

Ungkapan seorang pemimpin Pas pada tahun lalu yang menyebut "Orang yang menawarkan wang kepada orang, sama seperti kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa" tidak berulang.

Hina sekali kedudukan penerima BR1M pada pandangan pemimpin pembangkang itu sedangkan ramai penerimanya juga adalah penyokong parti berkenaan.

Mereka tidak segan silu untuk mendaftar nama masing-masing dengan alasan itu hak mereka kerana wang yang diagihkan adalah duit rakyat.

Kita juga berharap dihentikan segera propaganda kononnya penyaluran BR1M 2014 ini adalah untuk memancing undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang.

Ingatlah janji untuk memberikan BR1M 2014 sudah dibuat sebelum PRK lagi dan ia merupakan kaedah paling berkesan untuk membantu rakyat miskin.

Jiran terdekat kita, Singapura juga telah melaksanakan perkara sama apabila memperkenalkan Baucar Tunai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Ia adalah untuk penduduk berusia 21 tahun ke atas yang mempunyai pendapatan tidak melebihi S$24,000 setahun. Untuk itu, republik berkenaan membelanjakan S$652 juta pada 2013.

Iran, Macau, AS, United Kingdom, Kanada dan Hong Kong juga memperkenalkan program bantuan baucar tunai sama seperti Malaysia bagi membantu meringankan beban hidup rakyat masing-masing.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment