GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, February 24, 2014

Pergiat usaha sampaikan penjelasan GST


Hasim Rusdi (dua dari kanan) menerima Kad Edisi Istimewa UMNO
daripada Mohd. Zin Siron (tiga dari kiri) dalam Program Membara
Membantu Rakyat di Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin.
SEREMBAN 23 Feb. - Usaha kerajaan menyampaikan maklumat mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada masyarakat khususnya di luar bandar wajar dipergiatkan bagi memastikan perkara itu tidak diputar belit oleh individu yang mahu melihat keharmonian negara tergugat.

Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi berkata, ini kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mempengaruhi minda dan pemikiran rakyat supaya menolak usaha transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu berkata, golongan tersebut cuba mengapi-apikan perasaan rakyat dengan mengatakan pelaksanaan GST adalah bagi menggantikan sistem cukai sedia ada menjelang 2015 yang hanya akan membebankan rakyat.

''Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sesuatu langkah atau dasar yang hanya akan menimbulkan kesusahan atau merugikan rakyat.

''Apa juga dasar, langkah atau program yang dilakukan oleh kerajaan sebenarnya telah dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum dikemukakan untuk dilaksanakan," katanya dalam majlis penutup Program Membara Membantu Rakyat (Seminar Kerjaya, Taklimat GST dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) di Dewan Orang Ramai LBJ, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rasah, Hassan Datuk Ayup dan Pengerusi Koperasi Seri Perdana Jaya Seremban Berhad (KSPJ), Mohd. Zin Siron.

Hasim memberitahu, UMNO bahagian itu juga bercadang mengadakan taklimat kepada kumpulan sasar iaitu generasi muda atau lebih dikenali sebagai generasi Y yang ingin tahu mengenai sesuatu perkara baharu.

''Generasi ini banyak bertanya, namun sering tercicir daripada mendapatkan maklumat yang tepat. Oleh yang demikian, taklimat seperti ini amat penting bagi mereka mengetahui lebih terperinci mengenai dasar-dasar kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengkaji terlebih dahulu fakta atau isu yang tersebar di internet agar tidak mudah terpedaya dengan penyampaian tidak berasas oleh sesetengah pihak yang sengaja mahu memburukkan kerajaan.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment