GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, February 28, 2014

Komuniti 1Malaysia beri kefahaman pada rakyat


ARKIB : 27/02/2014

KUALA KANGSAR 26 Feb. - Komuniti 1Malaysia mempunyai peranan besar membantu kerajaan memberi kefahaman kepada masyarakat dari semasa ke semasa mengenai pelbagai isu berbangkit yang ditimbulkan rakyat.

Pengarah Penerangan negeri, Aszahari Abdul Rahman berkata, pemimpin komuniti berkenaan seperti penghulu dan ketua kampung dapat menjadi pemberi maklumat tepat terhadap isu-isu berkenaan kepada masyarakat setempat.

Katanya, ini kerana kerajaan bimbang jika perkara berkenaan tidak diperjelaskan akan memberikan kesempatan kepada musuh mempertikai dan memutarbelitkan isu berkenaan sehingga akhirnya lari dari matlamat asal.

"Justeru komunikasi yang rapat antara penghulu dan ketua kampung amat penting bagi menjayakan program Komuniti 1Malaysia.

"Isu-isu seperti GST, kenaikan harga barang keperluan harian, pengurangan bantuan subsidi, program jimat belanja, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan banyak lagi isu perlu diperjelaskan kepada orang ramai. Inilah peranan yang perlu mereka mainkan," katanya ketika berucap dalam Majlis Mesra Komuniti 1Malaysia Kuala Kangsar di Balai Penghulu Mukim Kota Lama Kiri di sini hari ini.

Pemimpin Komuniti 1Malaysia dari tujuh buah komuniti terdiri daripada penghulu mukim dan ketua kampung terlibat dalam program itu.

Aszahari berkata, buat masa ini terdapat 90 buah Komuniti 1Malaysia di kampung dan taman manakala 58 buah Kelab Komuniti 1Malaysia di sekolah seluruh Perak telah diwujudkan.

"Bagaimanapun jumlah itu boleh dikembangkan khidmatnya kepada semua kampung dan sekolah lain yang tidak mempunyai pasukan tersebut sebagai usaha meningkatkan perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain," katanya.

Beliau turut meminta semua komuniti terlibat memperbanyakkan program menjalinkan hubungan harmoni dengan menerapkan amalan konsep sukarelawan melibatkan ahli komuniti bersama masyarakat sebagai mengaktifkan komuniti masing-masing.

Sementara itu katanya, pihak Komuniti 1Malaysia juga telah mendapat kebenaran bagi mendapatkan khidmat sukarela peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi menyertai sebarang program anjurannya.

Ini menurutnya, termasuklah dalam aktiviti kerja gotong-royong, kerja-kerja amal, lawatan dan lain-lain khidmat yang boleh mengeratkan hubungan masyarakat dan percambahan minda.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment