GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 2, 2014

Tukar pegawai kastam lebih kerap


Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN
utusankelantan@utusan.com.my
Khazali Ahmad (dua dari kiri) meninjau kerosakan di kawasan stor
Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor akibat letupan mercun
bulan lepas selepas majlis ramah mesra bersama warga JKDM dan
penduduk di Tumpat, Kelantan, semalam.
TUMPAT 1 Jan. - Bagi mengelak pegawai dan anggotanya bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melakukan pertukaran penugasan mereka lebih kerap pada masa depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, langkah itu bagi mengelakkan pegawai dan anggotanya terdedah untuk menerima tawaran anggota sindiket.

Beliau memberitahu, pihaknya juga akan melakukan pemantauan terhadap warganya bagi memastikan tiada antara mereka yang belot.

"Penahanan empat pegawai penguat kuasa JKDM (baru-baru ini) kerana disyaki terlibat dalam dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa, antara kes yang kita terlepas pandang kerana modus operandi yang sindiket gunakan.

"Jadi, kita akan lebih kerap melakukan pertukaran tempat bertugas bagi memastikan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya dalam majlis ramah mesra bersama warga JKDM dan penduduk setempat di Taman Perumahan Kastam Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Matrang Suhaili dan Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Azis Yacub.

Pada 17 Disember lalu, seramai 11 individu termasuk empat pegawai penguat kuasa JKDM ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa didalangi warga Nigeria dan India.

Kesemua suspek ditahan dalam operasi khas pada 14 Disember hingga 16 Disember lalu.

Sementara itu, Khazali berkata, pihaknya akan menguji sistem komputer yang dibina untuk melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di seluruh negara tidak lama lagi.

Menurut beliau, sistem dikenali sebagai My GST itu akan digunakan untuk menguruskan kira-kira 300,000 pemegang lesen berdaftar di bawah GST.

"Dalam memastikan sistem bernilai kira-kira RM100 juta itu dapat berfungsi dengan baik, maka ia perlu diuji dari semasa ke semasa.

"Kita berharap sistem ini nanti mampu mendaftarkan pelesen yang begitu ramai agar kutipan cukai lebih mudah apabila GST dilaksanakan nanti," katanya.

Pada majlis sama, Khazali menambah, JKDM berjaya mencatat jumlah rampasan dadah yang cuba diseludup masuk sebanyak 1,600 kilogram (1.6 tan) bernilai RM114 juta sepanjang tahun lalu.

"Rampasan itu dilakukan oleh pegawai kastam yang berjaya mengesan pelbagai taktik yang digunakan untuk menyeludup masuk dadah ke dalam negara," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment