GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 2, 2014

Berjimat dan bijak berbelanja, kata Putrajaya di tengah kemelut kenaikan harga


OLEH LEE SHI - IAN


JANUARY 01, 2014


Ketika para suri rumah sibuk mengeluh dan mengadu terhadap kenaikan harga barang keperluan, pakar ekonomi Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) menasihatkan mereka agar berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif.

Bekas pemimpin bank itu berkata, rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan berbelanja mengikut kemampuan mereka kerana ketika rakyat mengadu, Putrajaya lebih sibuk dengan projek infrastruktur besar-besaran yang dibuat secara runding terus daripada membuatnya melalui tender terbuka.

"Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga barangan keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam membelanjakan wang mereka," katanya dalam wawancara eksklusif dengan portal berita yang baru dilancar, Malaysia Gazette, yang juga menyiarkan klip video Youtube temubual itu.

Abdul Wahid berkata, beliau sentiasa memeriksa harga barangan keperluan diiklankan akhbar yang diletakkan oleh pasar raya besar sebelum merancang perbelanjaan beliau setiap minggu.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif bank berkaitan kerajaan Malayan Banking Berhad itu juga memberitahu Malaysia Gazette bahawa pengguna perlu membuat pilihan berdasarkan bajet mereka.

"Kesihatan adalah faktor penting. Kita perlu mengamalkan tabiat makan berdasarkan keperluan badan kita. Contohnya, tubuh kita memerlukan protein, tetapi kita tidak semestinya membeli ikan. Terdapat lain-lain sumber protein seperti ayam atau daging lembu. Walaupun saya mempunyai kuasa beli, jika saya rasa harga ikan tidak munasabah, saya tidak akan membelinya."

Abdul Wahid memberitahu Malaysia Gazette bahawa dia tidak akan membeli ikan jika harganya RM28 sekilogram, tetapi sebaliknya menggantikan ikan dengan daging lembu yang berharga RM24 sekilogram.

"Walaupun kita tidak boleh makan daging selalu, pengguna boleh sentiasa memilih ayam yang berharga antara RM6 dan RM7 sekilogram sahaja," katanya sambil menambah harga ayam jarang turun naik.

"Pengguna perlu belajar untuk menjadi pragmatik kerana tiada siapa boleh mengakui bahawa mereka mempunyai pendapatan mencukupi walaupun gaji purata meningkat antara 5% dan 6%, bergantung kepada kedudukan mereka," katanya kepada portal itu.

Abdul Wahid berkata, pengguna hendaklah belajar untuk berbelanja mengikut kemampuan mereka.

"Dengan cara itu, pengguna boleh merancang perbelanjaan mereka setiap minggu dan memilih tawaran terbaik. Portal pengguna banyak menawarkan nasihat yang sangat baik untuk memilih barangan terbaik untuk dibeli, di samping cara menyimpan," katanya.

Seorang wanita membeli sayur-sayuran di Semenyih, Selangor.
Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 1 Januari, 2014.
Beliau mengakui bahawa ramai suri rumah yang biasa memperuntukkan RM20-RM30 untuk membeli keperluan harian tetapi kini terpaksa meningkatkan bajet mereka kepada RM50.

Walaupun dengan RM50, ramai suri rumah mendakwa bahawa mereka hanya mampu membeli satu jenis ikan, dua atau tiga sayuran, separuh ayam dan lain-lain keperluan memasak.

Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula, antara lain, telah mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang-barang lain meningkat.

Setelah dikritik kerana tidak berjimat, Putrajaya mengumumkan tiga hari lalu bahawa mereka akan mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan menteri dan pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian pejabat.

Tetapi pembangkang telah melabelkannya sebagai reaksi spontan dan setelah melihat kesan kepada pengurangan subsidi yang telah dilaksanakan selepas Pilihan Raya 2013. – 1 Januari, 2014 .

No comments:

Post a Comment