DECEMBER 30, 2013
LATEST UPDATE: DECEMBER 30, 2013 03:25 PM
PKR hari ini mendakwa Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tiada peruntukan bagi mencegah kenaikan harga barang dan Barisan Nasional (BN) hanya berharap peniaga mengambil inisiatif sendiri bagi mengurangkan harga jualan mereka, kata PKR.
Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli (gambar), tiada satu pun bahagian atau fasal dalam undang-undang itu menyatakan bahawa peniaga wajib menurunkan harga sekiranya mereka telah menuntut cukai input daripada pembelian dan kos perniagaan.
"Salah satu propaganda BN ialah pengenalan GST akan menyebabkan harga barang turun. Pandangan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebelum ini cetek dan tidak mengambil kira keadaan sebenar pelaksanaan GST.
"Kenyataan Ahmad Maslan bahawa harga akan turun adalah bergantung kepada kesediaan peniaga menurunkan harga secara sukarela. Apabila GST dilaksanakan, harga barang akan meningkat secara keseluruhannya. Ini bermakna kos yang ditanggung peniaga akan meningkat dan keuntungan juga akan berkurangan," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Ahmad ketika ditemui pemberita sebelum ini berkata pembangkang akan “gagal dan merana” kerana menyebarkan pembohongan tentang pengenalan GST pada 2015 kerana menurutnya kerajaan cuba untuk menurunkan harga barang dengan pengenalan cukai tersebut sementara Pakatan Rakyat (PR) pula sebaliknya, menolak inisiatif itu.
“Mereka akan gagal dan merana kerana berbohong kepada rakyat. Mengapa mereka tidak mahu GST? Ini kerana akhirnya harga barang akan turun. Apabila harga barang dan perkhidmatan turun, pembangkang tidak mempunyai modal menyerang kerajaan,” katanya.
Rafizi berkata di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), peniaga hanya mengenakan sekali caj cukai dan mereka tidak boleh menuntut kembali cukai yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaan.
Katanya, meskipun peniaga boleh menuntut kembali cukai di bawah GST namun atas faktor kenaikan harga barang, cukai yang dituntut tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaan.
“Dalam keadaan BN hanya berharap supaya peniaga menurunkan harga barang tanpa ada peruntukan undang-undang yang mengekang kenaikan harga, peniaga tiada pilihan menaikkan harga bagi memastikan perniagaan tidak ditutup.
“Sikap kerajaan BN sama seperti berharap pengeluar kereta menurunkan harga kereta secara sukarela tanpa menghapuskan cukai eksais. Sehingga ke hari ini, harga kereta masih tinggi malah ada harga kereta yang meningkat,” katanya yang turut menyebut tidak ada negara yang memperkenalkan GST tanpa berlaku kenaikan harga barang.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata bahawa kenyataan Ahmad sebelum ini yang mendakwa selepas pelaksanaan GST harga barang akan mencatatkan penurunan adalah satu kenyataan tidak berasas dan mengundang salah faham di kalangan rakyat.
Katanya, kenyataan Ahmad itu akan membuatkan pengguna meletakkan kesalahan kenaikan harga barang kepada peniaga meskipun BN sendiri yang tidak menetapkan kawalan dalam Rang Undang-Undang GST.
“Mengatakan GST tidak bagus adalah salah kerana ia satu mekanisme mengutip cukai. Kita ada cukai pendapatan, GST, cukai hartanah dan cukai pusaka. Ia juga ada kebaikan dan keburukannya tersendiri. Dari segi kecekapan, GST lebih cekap kerana tidak perlu proses pemfailan atau penilaian. Anda beli, anda bayar. Pada hujung bulan, pengutip cukai akan datang mengutip cukai.
“Dengan mengatakan GST itu teruk, ia menampakkan kita kelihatan bodoh. Bagaimanapun, sama ada GST itu adil dan sesuai dilaksanakan dalam keadaan ekonomi sekarang, itu pandangan berbeza,” katanya.
Beliau berkata di negara yang mengamalkan GST, gaji meningkat secara tetap dan majoriti rakyat membayar cukai. Justeru, apabila GST diperkenalkan ia pengubah kepada satu bentuk cukai kepada satu bentuk yang lain.
“Pelaksanaan GST di Singapura, Australia dan Eropah tidak membuatkan bebanan tambahan kepada rakyat. Mereka membayar cukai pendapatan 20% dan GST sebanyak 5%.
“Melaksanakan GST dalam keadaan dan pendapatan yang sesuai, tiada bebanan cukai tambahan. Di Malaysia berbeza, kerana 11% pekerja membayar cukai. Apa yang akan berlaku adalah 90% rakyat akan berdepan bebanan cukai tambahan,” katanya. – 30 Disember, 2013.
No comments:
Post a Comment