GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 2, 2014

Jangan pakat naik harga alat tulis


Publication: HM
Date of publication: Dec 28, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga dan pemborong alat tulis supaya tidak berpakat menaikkan barangan itu kerana ia menyalahi Akta Persaingan 2010.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, tindakan peniaga yang menaikkan harga sesuka hati itu jelas tidak menghormati hak pengguna khususnya ibu bapa yang perlu membeli alat tulis untuk anak mereka.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengarahkan bahagian penguat kuasa kementerian dan Suruhanjaya Persaingan menyiasat perkara itu bagi menjaga kebajikan pengguna tempatan.

"(Kementerian) diberi tanggungjawab untuk membela pengguna. Sebab itu, kalau peniaga terutamanya persatuan sepakat naikkan harga barangan atau perkhidmatan... kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Persaingan 2010.

"Ini adalah perbuatan 'kartel' (penyalahgunaan kuasa monopoli) dan ia adalah satu kesalahan," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Jualan Kembali ke Sekolah AEON Alpha Angle, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi AEON Co (Malaysia) Berhad Datuk Abdullah Yusof dan Pengarah Operasinya Poh Ying Loo.

Hasan berkata, pihak berkenaan tidak sepatutnya mengambil kesempatan atas pengumuman kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan pengurangan subsidi elektrik untuk menaikkan harga alat tulis.

Beliau berkata, alasan peniaga terbabit bahawa harga produk itu terpaksa dinaikkan antara lain kerana kerajaan bakal menguatkuasakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan juga tidak boleh diterima.

"Tidak ada sebab untuk peniaga naikkan harga. Pengguna juga perlu bijak untuk menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati mereka," katanya.

Kelmarin, akhbar bahasa Inggeris melaporkan, Persekutuan Peniaga Buku dan Alat Tulis Malaysia berkata, ada keperluan untuk menaikkan harga barangan alat tulis antara 20 dan 30 peratus pada suku pertama tahun depan.

Presidennya, Tey Tong Sing berkata, kenaikan itu boleh membantu mengimbangi kos yang ditanggung oleh semua pihak yang terbabit dalam perniagaan itu dan dijangka dilaksanakan menjelang Mac depan.

Menurutnya, peningkatan itu perlu memandangkan hampir 90 peratus daripada alat tulis dan buku yang dijual di pasaran tempatan diimport dari China.

Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum mulai Januari ini dan pengurangan subsidi bahan api juga menyebabkan kos penghantaran naik sehingga 30 peratus.

Bagaimanapun, pihaknya meminta pemilik kedai menghabiskan stok buku dan alat tulis sedia ada memandangkan harga baru itu akan terpakai hanya kepada stok baru selepas Mac nanti.

Dalam pada itu, Hasan meminta pengguna yang mengetahui pihak yang menaikkan harga sewenang-wenangnya supaya melaporkan perkara itu kepada kementerian.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan sejak kerajaan mengumumkan kenaikan kadar tarif elektrik, penghapusan gula dan pengurangan subsidi RON 95 dan diesel.

Katanya, aduan boleh dibuat menerusi talian hotline kementerian 1-800-886-800, atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Pada majlis sama, Hasan turut menyampaikan sumbangan baucar RM200, beg dan kelengkapan sekolah tajaan Yayasan AEON Malaysia kepada 150 kanak-kanak kurang berkemampuan dari Negeri Sembilan dan Pahang.

No comments:

Post a Comment