DEC 30, 2013 HAZAYANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Gabungan Bantah GST hari ini melancarkan kempen yang bertema ‘2014-Tahun Membantah GST’.
Gabungan ini terdiri daripada wakil-wakil Pakatan Rakyat, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Gabungan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) dan beberapa NGO lain.
Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, tidak mustahil kerajaan akan membatalkan rancangan melaksanakan GST jika rakyat konsisten mengadakan bantahan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, Rang Undang-undang mengenai GST belum dibacakan untuk kali kedua selepas mendapat tentangan dariapda Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
"Rang Undang-Undang GST dibentang kali pertama pada 2010 dan kita lancar kempen bantah GST.
"2 bulan berkempen bantah GST, rang undang-undang ini tidak dibacakan kali kedua, dan disebut kembali dalam pembentangan bajet 2014.
"Tapi kalau kita sepakat dan sama-sama bangun menentang, GST mampu dibatalkan," kata beliau pada sidang media bersama di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).
Gabungan ini akan terus berkempen dan menyedarkan rakyat tentang keburukan GST selain memobilasi rakyat untuk mendesak kerajaan supaya membatalkan rancangan melaksanakan GST.
Kempen dan program penerangan akan diadakan ke seluruh negara sebelum himpunan besar-besaran membantah GST pada 1 Mei tahun hadapan.
Sementara itu, Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, SAMM akan mengadakan taklimat mengenai GST dan menjemput wakil-wakil kerajaan untuk memberikan penerangan pada 18 Januari depan.
Namun katanya, belum pun mendapat respons daripada pihak kerajaan untuk menghadiri taklimat tersebut, pihak SAMM menerima jemputan daripada agensi kerajaan untuk taklimat yang sama dan dikenakan bayaran sebanyak RM1,180.
"Kami panggil wakil kerajaan untuk bersama-sama dalam taklimat tapi belum ada respons.
"Tapi dalam masa yang sama kami dijemput agensi kerajaan untuk menghadiri kursus mereka mengenai GST tetapi dikenakan bayaran RM1,180.
"Sudahlah panggil kami ke kursus mereka dikenakan pula bayaran yang tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment