GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, January 2, 2014

Prestasi ketiga terbaik di Asia


2014/01/01 - 04:43:37 AM 

Bursa Malaysia dijangka lepasi 2,000 mata tahun ini

Bursa Malaysia muncul sebagai pasaran saham yang mencatatkan prestasi ketiga terbaik di Asia apabila penanda aras utamanya menutup tirai 2013 dengan peningkatan kukuh sebanyak 10.54 peratus berbanding penutup pada 2012. 

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) mengakhiri dagangan hari terakhirnya bagi 2013 semalam pada 1,866.96 mata, meningkat 178.01 mata berbanding 1,688.95 mata ketika ditutup pada 31 Disember 2012. 

Jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat yang kukuh akan terus menyokong pengukuhan pasaran saham tempatan dengan Indeks FBM KLCI dijangkakan mampu mencecah paras 1,980 mata pada 2014” Nazri Khan, Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Bhd

Meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia, pasaran saham tempatan mampu mencatatkan prestasi mantap dengan indeks penanda arasnya beberapa kali mencatatkan paras rekod tertinggi barunya sepanjang tahun lalu.

Paras penutup tertinggi terbarunya dicatatkan kelmarin pada 1,872.52 mata.

Kekal aliran positif

Sepanjang tahun lalu, pasaran saham tempatan merekodkan jumlah dagangan harian tertingginya sebanyak 3.158 bilion saham bernilai RM2.441 bilion pada 19 Ogos 2013. 

Harga saham pula secara puratanya diniagakan 17 kali lebih tinggi daripada nisbah harga pendapatan (PE) berbanding purata 15 kali dalam tempoh lapan tahun lalu.

Prestasi pasaran saham tempatan itu didorong minat belian berterusan pelabur tempatan dan asing yang semakin yakin dengan komitmen kerajaan dalam memantapkan kedudukan kewangan negara.

Melangkah ke hadapan, majoriti penganalisis dan peserta pasaran yakin FBM KLCI mampu mengekalkan arah aliran positif itu pada 2014 ini dengan ada antara mereka mengunjurkan indeks penanda aras itu mungkin mencecah paras 2,000 mata menjelang akhir tahun.

Faktor positif

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Bhd, Dr Nazri Khan, berkata ada beberapa faktor positif yang akan mendorong Bursa Malaysia untuk mencatatkan paras yang lebih tinggi pada 2014 ini.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi AS dan zon euro tahun ini dijangka memberi manfaat kepada pasaran pesat membangun seperti Malaysia.

Katanya, prospek ekonomi negara yang lebih baik pada 2014 ini dengan unjuran pertumbuhan antara 5.0 hingga 5.5 peratus berbanding antara 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2013 akan mendorong minat belian lebih kukuh, sekali gus merancakkan lagi pasaran.

“Jangkaan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan korporat yang kukuh akan terus menyokong pengukuhan pasaran saham tempatan dengan Indeks FBM KLCI dijangkakan mampu mencecah paras 1,980 mata pada 2014,” katanya.

MIDF Research juga optimis dengan prestasi bursa tempatan bagi 2014 ini didorong jangkaan peningkatan secara konsisten pendapatan syarikat di tengah-tengah pengukuhan ekonomi domestik serta pemulihan ekonomi dunia.

Justeru, firma penyelidikan itu mengunjurkan FBM KLCI mampu melonjak melepasi paras 1,900 mata pada 2014 ini meskipun berdepan risiko pengaliran keluar dana asing susulan pelaksanaan pengurangan program rangsangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) oleh bank pusatnya.

Pasaran saham tempatan

RHB Research pula berkata, langkah berterusan kerajaan dalam merasionalisasikan subsidi bagi mengurangkan kos operasi dan pelaksanaan cukai barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 akan mendorong pelabur untuk terus memasuki pasaran saham tempatan.

Ia berkata, kedudukan kewangan negara ini yang bertambah baik dengan peningkatan ketara lebihan akaun semasa ketika ini juga memberikan keyakinan kepada pelabur untuk melabur dalam pasaran saham tempatan.

Katanya, risiko penurunan penarafan hutang negara yang semakin berkurangan serta pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh akan meningkatkan minat belian pelabur tempatan dan asing.

“Kami menaikkan sasaran FBM KLCI kepada 1,940 mata menjelang akhir 2014 ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, sektor yang akan menjadi tumpuan tahun ini ialah minyak dan gas, pembinaan, perbankan dan kewangan, perladangan, kayu balak, sarung tangan getah, media, utiliti serta penerbangan.

“Sektor minyak dan gas akan terus positif berdasarkan berita memberangsangkan aktiviti perbelanjaan modal PETRONAS sebanyak RM300 bilion untuk 2011-15, dengan hanya kira-kira RM118.9 bilion atau 39.6 peratus sudah dibelanjakan,” katanya.

Tahun terbaik untuk melabur

Sementara itu, Penasihat Pelaburan Berlesen, Ooi Kok Hwa pula lebih bulis dengan prospek Bursa Malaysia dengan mengunjurkan FBM KLCI akan melepasi paras 2,000 mata pada 2014 ini.

Beliau berkata, 2014 akan menjadi tahun yang baik untuk melabur dalam saham dengan tumpuan kepada saham murah dan kaunter perbankan.

“Bursa tempatan mungkin menyaksikan kemasukan lebih ramai pelabur runcit, didorong sentimen lebih baik berikutan tanda pemulihan ekonomi Amerika Syarikat, Eropah, China dan Jepun,” katanya.

No comments:

Post a Comment