GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, January 3, 2014

GST diguna pakai lama


2014/01/03 - 08:23:14 AM

Kerajaan tak ada rancangan naik kadar peratusan

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, dijangka diguna pakai untuk satu tempoh yang lama, kata Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Jabatan Kastam, Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar peratusan itu secara mendadak tanpa memberitahu orang ramai bagi mengelak ia menyebabkan kejutan kepada rakyat. 

“Saya percaya cukai tunggal, GST yang bakal menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), akan dikenakan ke atas rakyat Malaysia untuk satu tempoh yang panjang. 

“Namun, saya tidak pasti tempoh pelaksanaan enam peratus itu,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2014, mengumumkan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April tahun depan, dengan cukai itu dilihat lebih telus dan seragam berbanding SST yang dikenakan kini.

Cukai SST dikatakan mempunyai kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Pulangan dalam bentuk cukai 

Subromaniam berkata, ada sesetengah pihak menyifatkan kadar peratusan cukai GST enam peratus itu tinggi.

“Ia akan dipulangkan semula dalam bentuk pengurangan cukai, termasuk cukai korporat dan juga cukai pendapatan individu,” katanya, sambil menambah kerajaan mengenakan kadar itu setelah membuat pengiraan terperinci.

Beliau berkata, pada kadar enam peratus, GST dapat membantu mengimbangi semula jumlah kutipan cukai negara.

Kerajaan menjangkakan pada 2020 ekonomi negara bakal mencapai lebihan perbelanjaan berikutan pelaksanaan GST pada 2015, di samping defisit negara yang akan berkurang tahun demi tahun, tambahnya.

Sehubungan itu, kerajaan sedia untuk memberikan pemahaman mengenai pelaksanaan GST kepada orang ramai sebelum tempoh pelaksanaannya.

Subromaniam berkata, kerajaan mahu golongan belia seperti mahasiswa dan persatuan tampil membantu kerajaan dengan berkongsi pemahaman mereka mengenai cukai tersebut kepada rakyat.

“Tempoh 16 bulan masih tidak mencukupi bagi pihak kerajaan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat, dan oleh itu kerjasama orang ramai sangat penting.

“Media juga memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat mengenai pelaksanaan GST di negara ini,” tambahnya.

MoF sedia bekerjasama

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Khairul Annuar Osman, berkata pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan seperti menjayakan forum mengenai GST, boleh berbincang dengan MoF.

Segala perbelanjaan yang terbabit dalam menjayakan program itu akan dibiayai MoF menerusi peruntukkan RM100 juta yang diumumkan dalam Bajet 2014 bagi tujuan latihan GST, katanya.

“Buat masa ini, kerajaan berjaya mengumpul beberapa penjawat awam, termasuk anggota politik yang bersedia berkongsi pemahaman GST mereka dengan rakyat,” katanya sambil menambah penyebaran maklumat GST penting, terutama kepada pihak yang bakal dikenakan cukai berkenaan supaya mereka tidak keliru.

No comments:

Post a Comment