GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Monday, October 21, 2013

Menanti khabar gembira Bajet 2014


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SELESAI pemilihan UMNO, tumpuan rakyat akan beralih kepada pengumuman Bajet 2014 pula khususnya melibatkan bantuan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pengurangan subsidi, bonus kakitangan awam dan banyak lagi.

Sebelum ini, pengurangan subsidi petrol telah memberi kesan besar kepada rakyat dan menjadi bahan politik sesetengah pihak sementara khabar pengurangan subsidi gula, tepung, minyak masak serta lain-lain produk telah menyebabkan kegusaran orang awam.

Persoalan sama ada GST akan dilaksanakan atau tidak turut membimbangkan sesetengah pihak tetapi kebanyakannya akibat salah faham terhadap kiraan cukai yang bakal dikenakan.

Paling menarik perhatian, pengurangan cukai khususnya untuk golongan berpendapatan sederhana yang mewakili kumpulan majoriti penduduk negara ini berbanding golongan berpendapatan rendah yang sudah menikmati bermacam bentuk bantuan.

Sama ada GST, pengurangan subsidi mahupun kadar cukai, apa yang penting adalah mendapatkan maklumat tepat daripada sumber yang boleh dipercayai kerana kegusaran sesetengah golongan menjelang Bajet 2014 lebih kepada persepsi negatif serta jangkaan tidak realistik.

Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin menjelaskan perkara utama dalam bajet negara adalah menjaga defisit belanjawan, sepatutnya tidak melebihi 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Trend defisit kita semakin menurun dan seelok-eloknya defisit ini kekal atau semakin menurun. Defisit akan mengikut daya saing kita, kekuatan ringgit dengan dolar Amerika dan sebagainya.

"Begitu juga hutang kita yang rata-ratanya hutang dalam institusi negara, bukannya dipinjam daripada pihak luar, ini lebih terurus dalam usaha mengekang hutang negara," katanya.

Beliau juga melihat aspek ketirisan sebagai penentu utama dalam pengurangan subsidi dan pelaksanaan GST khususnya dalam mengimbangi sumber pendapatan daripada cukai dengan ketirisan perbelanjaan seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara mahupun barang bersubsidi digunakan bukan kumpulan sasar.

Tambahnya, ada rasional pengurangan subsidi minyak, petrol, gula dan lain-lain kerana banyak dibeli warga asing seperti barang-barang yang murah di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

"Sekitar 2.4 juta warga asing turut menikmati semua subsidi ini. Untuk tampal 'kebocoran' ini, sepatutnya disyaratkan hanya pemilik MyKad sahaja boleh membeli barang-barang bersubsidi ataupun barang kedai KR1M. Rasionalisasi itu maknanya hanya dapat kepada mereka yang layak, yang tidak layak tidak dapat.

"GST pula masih 50-50 sama ada akan dilaksanakan atau tidak tetapi lebih penting mengawal ketirisan peruntukan daripada mencari sumber cukai. Perlu ada kebertanggungjawaban kerana kerajaan kini sudah telus," tegasnya.

Menurut beliau, isu utama adalah kecekapan pengurusan kewangan kerana tiada guna banyak duit jika 'ditabur' sesuka hati tetapi beliau juga yakin akan ada usaha-usaha mengimbangi perbelanjaan dengan pendapatan hasil cukai.

Beliau berharap tumpuan besar diberikan kepada golongan pertengahan agar beban mereka tidak bertambah, termasuk pengurangan cukai individu sebagai imbuhan tambahan selain bantuan-bantuan yang wajar diberikan.

"Selain itu, saya rasakan tiada perubahan drastik berbanding bajet-bajet sebelum ini seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), diskaun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bantuan untuk sekolah dan lain-lain.

"Walaupun laporan audit tidak berapa elok, saya rasa elok diteruskan tradisi pemberian bonus, beri peluang setahun lagi kepada kakitangan awam buktikan mereka mampu jaga duit rakyat. Bajet ini selalunya lumayan, cuma rakyat kadang kala tidak tahu berterima kasih," ujarnya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah juga merasakan wajar subsidi dikurangkan dalam Bajet 2014 tetapi atas alasan berbeza daripada kebocoran kepada warga asing.

"Pendatang asing gaji rendah, penggunaan produk bersubsidi tidak beri kesan besar. Barang bersubsidi ini masalahnya banyak digunakan orang kaya dan sektor komersial, pengguna biasa tidak banyak terjejas jika subsidi gula, tepung, minyak masak dan lain-lain produk dikurangkan.

"Kos harian pengguna biasa naik sedikit sahaja, masalahnya barang komersial seperti roti, air, biskut dan sebagai yang akan naik harga jika subsidi dikurangkan, membentuk ketidaktentuan ekonomi," jelasnya.

Beliau merasakan masalah utama adalah terlalu lama membiarkan sektor komersial yang bukan kumpulan sasar subsidi terbabit berterusan menggunakan barang bersubsidi.

Tegasnya, FOMCA menyokong pengurangan subsidi tetapi secara berperingkat dan mungkin ke tahap menghapuskan terus subsidi suatu hari kelak tetapi penjimatan yang diperolehi kerajaan perlu disalur kembali kepada sistem sosial seperti pengangkutan awam dan perumahan.

"Orang kaya tidak naik bas, rumah bersubsidi pula boleh dipantau siapa yang layak mendudukinya. Jika subsidi kepada barang seperti gula, petrol dan sebagainya memang senang tiris, sesiapa pun boleh guna malah boleh curi (seludup).

"Seperti juga GST, kena ada kesungguhan banteras ketirisan perbelanjaan dahulu sebelum boleh dilaksanakan. GST sudah tidak boleh tangguh tetapi kena pastikan hasil cukai dibelanja dengan cekap, dengan itu GST juga boleh dimulakan pada kadar yang rendah," katanya.

Beliau turut berharap Bajet 2014 memberi lebih tumpuan kepada golongan pertengahan melalui rancangan atau program yang boleh memberikan lebihan pendapatan kepada mereka untuk berbelanja.

"Lebih 85 peratus rakyat berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan dan kos sara hidup semakin tinggi, perlu ada program-program untuk bantu bawa lebihan pendapatan kepada golongan ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment