GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, October 22, 2013

DAP: ‎Pembaziran dan ketirisan punca BN laksana GST

OCTOBER 22, 2013

Cadangan Barisan Nasional (BN) untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kumpulan berpendapatan rendah adalah disebabkan kelemahan pentadbiran yang dilihat lebih kepada pembaziran dan ketirisan, kata DAP.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (gambar), berkata cadangan pelaksanaan GST perlu ditolak kerana cukai dikurangkan kepada mereka yang layak sebaliknya mengenakan cukai kepada mereka yang memperoleh pendapatan tidak mencukupi untuk membayar cukai.

“Jika GST dilaksanakan, golongan berpendapatan rendah akan terbeban dua kali ganda dalam pembayaran cukai kerana mereka yang terpaksa menanggung pengurangan cukai pendapatan oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Sebagai contoh, individu yang berpendapatan RM1,000 akan membelanjakan penuh gaji mereka tanpa wang simpanan dan perbelanjaan mereka dikenakan GST sebanyak 5%. Tetapi individu berpendapatan RM20,000 sebulan, mereka mungkin membelanjakan RM12,000 sebulan dan selebihnya diperuntukkan untuk simpanan dan pelaburan.

“Golongan yang berpendapatan tinggi itu dikenakan 5% GST iaitu hanya RM600 daripada RM12,000 yang dibelanjakan tadi. Ini bermakna mereka hanya dikenakan cukai sebanyak 3%. Dengan kaedah ini, kerajaan menidakkan tanggungjawabnya dalam memberikan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang mempersoalkan hanya 15% mereka yang bekerja di Malaysia dikenakan cukai kerana menurutnya mengapa 85% lagi tidak membayar cukai sedangkan negara menikmati pembangunan ekonomi yang pesat.

Pua berkata, mengapa kegagalan urus tadbir kerajaan dalam menguruskan cukai dibebankan kepada rakyat yang memperoleh pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

“Hutang kerajaan kini meningkat kepada RM546 bilion selain liabiliti luar jangka yang mencecah RM150 bilion. Dengan angka tersebut, kerajaan dilihat gagal dalam memastikan dana kerajaan diguna dan dilaburkan dengan sebaiknya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu berkata, kerajaan tidak harus mengurangkan subsidi secara drastik dalam pembentangan Bajet 2014 kerana menurutnya mekanisme itu tidak akan berkesan jika kerajaan terus boros dalam berbelanja.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menambah pendapatan daripada segi cukai dan pelaburan berbanding terus berbelanja secara berlebihan.

Katanya, kerajaan perlu mengambil iktibar dari kemuflisan Grece di mana sebelumnya negara itu berbelanja seperti prinsip negara kaya dengan memberikan gaji yang tinggi tetapi mereka tidak mampu yang seterusnya memaksa Greece untuk memohon pinjaman.

Ketika ditanya adakah sekarang masa yang sesuai bagi Malaysia untuk melaksanakan GST, Dr Mahathir berkata, ia tidak bergantung kepada masa asalkan pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat.

Beliau berkata, cukai kepada rakyat juga tidak boleh dinaikkan secara mendadak kerana ia akan menekan rakyat.

Katanya, cukai yang dinaikkan sedikit demi sedikit tidak akan terlalu membebankan rakyat malah mereka akan terbiasa dengannya. - 22 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment