GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 17, 2013

Perhimpunan anti-GST jejas pendapatan


ARKIB : 16/12/2013

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Pendapatan harian golongan yang bergantung hidup dengan sektor pelancongan akan terjejas jika perhimpunan cukai barang dan perkhidmatan (GST) diteruskan.

Pengerusi Persatuan Pelancong ASEAN (Aseanta), Datuk Mohd. Khalid Harun berkata, sebarang jenis demonstrasi yang menentang kerajaan akan menggambarkan keadaan tidak aman dan kucar-kacir dalam sesebuah negara.

Beliau berkata, rata-rata demonstrasi yang mendakwa dijalankan secara aman kesudahannya berakhir dengan peristiwa yang tidak diingini.

"Situasi sebegitu menyebabkan nama baik negara terjejas dan pelancong luar negara yang ingin berkunjung ke negara ini menjadi takut.

''Contohnya, demonstrasi yang berlaku di jiran terdekat Malaysia, Thailand, yang menyebabkan pelancong luar negara takut untuk ke sana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perhimpunan antiGST yang dirancang akan dianjurkan oleh pihak pembangkang pada 20 Disember ini di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Tambahnya, aktiviti pelancong luar negara dan pelancong domestik yang ingin berkunjung ke kawasan sekitar ibu negara turut terjejas apabila mereka tidak bebas atau selesa untuk bergerak.

"Golongan peniaga kecil dan sederhana di ibu kota turut menerima kesan kerana aktiviti perniagaan terpaksa ditutup bagi mengelakkan terlibat dengan perhimpunan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Comfort Taxi, Siti Fadilah Aslah berkata, pemandu teksi sekitar ibu kota akan mengalami kesusahan sekiranya rancangan untuk mengadakan perhimpunan tersebut diteruskan.

"Jalan di kawasan sekitar terpaksa ditutup dan pergerakan kenderaan terpaksa dikawal jika perhimpunan diteruskan, hal ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas meningkat.

"Pemandu teksi bukan sahaja terpaksa berdepan dengan kesibukan jalan raya yang meningkat pada ketika itu, malah pendapatan mereka juga berkurangan berikutan ketiadaan atau jumlah penumpang berkurangan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment