GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, December 18, 2013

Bela semua golongan


Publication: HM
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 051
Byline / Author: Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam, bukan saja melegakan rakyat Malaysia, malah menggembirakan rakyat negeri ini apabila bantuan diberikan sebelum ini diperluaskan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain tumpuan diberikan kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang kini diperluaskan kepada pendapatan isi rumah RM3,000 hingga RM4,000, rakyat Johor lega apabila kerajaan turut menaikkan harga siling hartanah yang boleh dibeli warga asing daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri menyambut baik Bajet 2014 dibentangkan Najib yang bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji'.

Menerusi pembentangan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Najib terbukti sentiasa komited menjaga kebajikan rakyat berbilang kaum.

Menurut Mohamed Khaled, ia dilihat selari dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Sebagai Menteri Besar, saya memberi komitmen bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai setiap matlamat dirancang demi kesejahteraan rakyat di negeri ini khasnya dan Malaysia amnya.

"Prestasi ekonomi di Malaysia juga amat membanggakan apabila dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini, ia berkembang 4.2 peratus dan dijangka berkembang lebih kukuh pada kadar lima hingga 5.5 peratus pada 2014.

"Bajet 2014 ini bukan saja memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, malah membela golongan berpendapatan sederhana yang turut terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, ia terbukti apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju memperluaskan pemberian BR1M kepada golongan berpendapatan sederhana.

Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan dasar bagi memastikan rakyat mempunyai capaian dan keupayaan memiliki rumah sendiri dan menyokong langkah menaikkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) untuk membendung spekulasi harga rumah di pasaran, menyediakan bekalan unit perumahan mencukupi serta memperbetulkan mekanisme pembiayaan pembelian rumah.

Kenaikan harga minimum rumah yang boleh dibeli warga asing daripada RM500,000 kepada RM1 juta seunit, katanya, akan memantapkan lagi pasaran terutama di kawasan pembangunan pesat seperti Iskandar Malaysia.

"Selain itu, kita akan bekerjasama dengan agensi pelaksana seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) supaya unit rumah mampu milik dibangunkan menepati kesesuaian dan keperluan pengguna.

"Dana Mudahcara yang diperuntukkan sebanyak RM4 bilion bagi projek perumahan kos rendah dan sederhana membuktikan kerajaan komited dan mendengar keluhan hati rakyat berkaitan isu perumahan.

"Pengenalan GST juga disambut baik kerana ini dapat mengukuhkan lagi pengurusan fiskal ekonomi negara," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan untuk pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru bagi Johor Bahru Selatan dan Nusajaya.

Beliau berkata, ia membantu meningkatkan kecekapan pengurusan keselamatan dan perlindungan di Iskandar Malaysia seterusnya memelihara kesejahteraan rakyat serta keyakinan pelabur.

No comments:

Post a Comment