ARKIB : 13/12/2013
Oleh DR. IBRAHIM ABU BAKAR
ibrahimabkar50@gmail.com
PENJENAYAH ialah seseorang yang melakukan jenayah seperti merompak, mencuri, menyamun, menipu, meragut, merogol, memecah amanah, menerima rasuah, memberi rasuah, mengedar dadah, atau membunuh.
Daripada sejumlah jenayah yang dinyatakan, dua daripadanya sahaja yang mungkin didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati di tali gantung dalam undang-undang jenayah di Malaysia.
Dua jenayah yang membawa penjenayah ke tali gantung adalah jenayah membunuh manusia dan jenayah mengedar dadah.
Walaupun dua jenayah ini boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Malaysia tetapi sesuatu kes yang melibatkan jenayah membunuh dan mengedar dadah mengambil masa yang panjang untuk tiba kepada pelaksanaan hukuman mati di tali gantung kerana proses mengumpul bukti oleh pegawai penyiasat, proses pendakwaan penjenayah di mahkamah jenayah, proses pembicaraan dan penangguhan perbicaraan disebabkan alasan-alasan yang dapat diterima oleh hakim yang mendengar kes jenayah membunuh dan mengedar dadah.
Kes jenayah Mona-Pendi dan Jurimi telah mengambil masa bertahun-tahun sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka. Mereka bertiga dituduh melakukan jenayah membunuh seorang wakil rakyat Batu Talam di Pahang.
Setelah dijatuhi hukuman mati, mereka bertiga mengemukakan rayuan demi rayuan kerana sistem kehakiman di Malaysia membenarkan pesalah mengemukakan rayuan kepada mahkamah.
Rayuan terakhir mereka kepada Sultan Pahang ditolak, maka hukuman mati ke atas mereka dilaksanakan oleh pihak berkuasa di Penjara Kajang.
Terdapat kumpulan manusia yang membela nasib penjenayah yang dijatuhi hukuman mati kerana jenayah bunuh atau edar dadah setelah menjalani perbicaraan beberapa lama di mahkamah.
Kumpulan manusia yang membela nasib penjenayah yang membunuh atau mengedar dadah berhujah bahawa hukuman mati tidak dapat mengurangkan jenayah membunuh dan mengedar dadah. Mereka mengusulkan atau mencadangkan hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup.
Hujah mereka lagi, sudah banyak negara tidak lagi menjatuhkan hukuman mati ke atas para penjenayah yang membunuh manusia lain. Hujah mereka bahawa penjenayah telah melakukan pembunuhan seorang manusia, katakan jika penjenayah itu dihukum mati juga, maka kedua-duanya penjenayah dan mangsanya mati.
Kumpulan manusia yang mahu menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara seumur hidup tidak mengambil kira penderitaan ahli keluarga yang mati dibunuh oleh penjenayah.
Kalau penjenayah membunuh seorang suami kepada seorang atau beberapa orang isteri, maka isteri menderita atas kehilangan suaminya. Kalau penjenayah membunuh seorang bapa yang mempunyai isteri dan anak-anak, maka isteri dan anak-anak berkenaan menderita akibat hilang tempat bergantung.
Kalau hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup dan umur penjenayah itu panjang maka beban memberikan penjenayah makan, minum dan tempat tinggal di dalam penjara ditanggung oleh rakyat yang membayar cukai pendapatan dan perniagaan mereka di Malaysia.
Mulai April 2015 apabila diiwajibkan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan (GST), maka rakyat Malaysia yang membayar GST akan menanggung atau menyara hidup penjenayah dalam penjara seumur hidup penjenayah.
Kalau penjenayah yang dijatuhkan hukuman mati berusia 20 tahun kerana membunuh kekasihnya, maka ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup, kemungkinan penjenayah muda ini dapat hidup sehingga usia 60 tahun. Selama 40 tahun rakyat dan Kerajaan Malaysia dibebankan dengan tanggungjawab menyara penjenayah berkenaan di penjara.
Jika semua penjenayah yang dijatuhkan hukuman mati digantikan dengan hukuman penjara seumur hidup, maka lebih ramai penjenayah yang melakukan pembunuhan pasti dapat terus hidup walaupun di dalam penjara, sedangkan mangsa mereka telah mati.
Kalau penjenayah membunuh dan mengedar dadah tidak dapat ditakutkan dengan hukuman mati wajib atau mandatory, adakah hukuman penjara seumur hidup kepada para penjenayah itu dapat menakutkan mereka daripada melakukan jenayah membunuh atau mengedar dadah?
Penulis tidak fikir sedemikian. Tetapi sebaliknya hukuman penjara seumur hidup menggantikan hukuman mati menggalakkan atau mendorong lebih ramai penjenayah melakukan pembunuhan dan mengedar dadah kerana mereka pasti dapat hidup dalam penjara hingga akhir hayat.
Parti Gerakan yang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu mahu menjadi juara mengemukakan usul menghapuskan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.
Lebih baik parti politik itu membuat rancangan untuk menarik para pengundi menyokong partinya dalam PRU-14 daripada menarik penjenayah yang membunuh dan mengedar dadah menyokong parti itu.
Penulis tidak menyokong usul menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara seumur hidup kerana langkah itu membebankan rakyat dan kerajaan.
Bunuh mesti dijatuhi hukuman mati untuk menyedarkan manusia bahawa nyawa manusia ada nilainya. Kenapa perlu membela nasib penjenayah yang membunuh manusia lain dan tidak membela nasib mangsa yang mati dibunuh oleh penjenayah?
Adakah kerana mangsa penjenayah telah mati, maka dia tidak perlu mendapat pembelaan daripada manusia yang masih hidup melalui proses perundangan dan penghakiman?
Hukuman mati yang dijatuhkan ke atas penjenayah yang membunuh mangsanya dapat dianggap satu pembelaan kepada si mati dan keluarga si mati seperti anak-anaknya, ibu bapanya dan isterinya.
Hanya kumpulan manusia yang tidak bijaksana yang tidak mahu qisas dijalankan ke atas pembunuh.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131213/re_06/Hukuman-mati-tak-wajar-diganti-penjara-seumur-hidup#ixzz2ngy6YsDv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment