GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 17, 2013

Pantau salah faham polisi negara


Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN
PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

SETIAP polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti mana cukai barang dan perkhidmatan (GST) bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan sepatutnya difahami oleh masyarakat secara terperinci supaya salah faham terhadap polisi tersebut dapat dielakkan.

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyat maka setiap polisi yang dirancang oleh kerajaan mampu memberi sumbangan yang baik kepada rakyat dan negara. Rakyat mempunyai hak untuk mempersoalkan secara terbuka dan profesional mengenai impak atau kesan polisi kerajaan terhadap masyarakat dan negara.

Apabila kerajaan yakin polisi yang ingin dilaksanakan itu memberi kebaikan kepada rakyat dan negara, maka pemantauan terhadap perlaksanaan dasar tersebut perlu dilakukan secara serius. Ini kerana kecuaian dalam aspek ini boleh menggagalkan usaha kerajaan membangunkan negara.

Wakil rakyat dan individu yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan dasar kerajaan sepatutnya memahami tugas mereka adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat bukan sebagai 'orang yang menangguk di air yang keroh'.

Jika individu yang diberi tanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan kurang menyedari tugas utama mereka sebagai ejen kerajaan dalam melaksanakan tugas kemasyarakatan dan negara maka setiap polisi yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan akan gagal.

Sebagai sebuah negara membangun, corak pemikiran dan personaliti setiap individu yang menjadi ejen kerajaan sepatutnya dikaji terlebih dahulu sebelum menyerahkan tugas negara kepada mereka.

Indidvidu-individu yang kurang faham terhadap tugas dan amanah masyarakat dan negara tidak mungkin dapat melaksanakan polisi kerajaan. Pelantikan mereka sebagai ejen kerajaan bukan sahaja boleh menggagalkan polisi negara malah ia boleh membangkitkan salah faham terhadap kerajaan.

Hal ini merupakan realiti yang wujud dalam negara ini di mana terdapat ramai ejen kerajaan terutamanya yang berkhidmat di kawasan yang berjauhan dengan pusat pentadbiran negara gagal melaksanakan tugas dan polisi negara.

Sikap dan mentaliti korup mereka menjadi bahan bualan dan kutukan masyarakat tempatan. Persoalannya ialah sejauh manakah kerajaan berjaya membanteras penyalahgunaan kuasa dan kedudukan dalam kalangan ejen kerajaan?

Sikap kurang serius mengambil tindakan terhadap individu-individu yang korup ini merupakan faktor utama polisi negara kurang berkesan dalam pelaksanaannya.

Konsep pahala, amal jariah dan ganjaran istimewa daripada Allah hasil perkhidmatan kepada masyarakat dan negara kian hari luput daripada minda dan sanubari mereka.

Kesan daripada ketandusan jiwa agama ini maka kerajaan sering menghadapi permasalahan korupsi dalam kalangan ejen kerajaan tanpa mengira latar belakang pendidikan.

Peristiwa di mana bantuan kerajaan gagal dinikmati oleh golongan miskin sepenuhnya merupakan realiti yang wujud di kawasan yang berjauhan dengan pusat pentadbiran negara.

Ketamakan, kerakusan dan penipuan yang dilakukan oleh ejen kerajaan seperti ini kurang disedari kerana tidak ada pemantauan yang serius mengenai sejauh manakah polisi dan bantuan kerajaan dilaksanakan oleh ejen-ejen kerajaan.

Tambahan pula jika individu tersebut merupakan ejen kerajaan yang berjawatan tinggi dan mempunyai kuasa. Ini merupakan satu kelemahan yang amat jelas berlaku di kawasan-kawasan yang terlalu jauh dengan pusat pentadbiran negara.

Penipuan dan korupsi begini sering berlaku di kawasan-kawasan tersebut kerana kebanyakan masyarakatnya tidak berpendidikan tinggi dan miskin. Suasana begini memberi peluang kepada ejen kerajaan yang korup memperkayakan diri secara memutar belit peruntukan kerajaan kepada orang miskin.

Kurangnya ketegasan mengambil tindakan terhadap ejen-ejen kerajaan yang korup ini merupakan faktor utama membangkitkan kemarahan rakyat. Ketika ini orang yang berhaluan kiri dalam kerajaan akan mengambil kesempatan memburuk-burukkan dasar kerajaan dan seterusnya membangkitkan semangat menentang kerajaan.

Bagi mengatasi permasalahan ini dan menjayakan polisi dan dasar negara maka kerajaan sepatutnya menghantar lebih ramai perisik kerajaan di kawasan-kawasan berjauhan dengan pusat pentadbiran negara untuk memantau dan memerhati sikap dan tingkah laku ejen kerajaan melaksanakan dasar dan bantuan kerajaan kepada rakyat. Tindakan tegas perlu diambil ke atas ejen-ejen kerajaan yang korup dan penipu.

Berdasarkan kepada suasana di mana korupsi dan penyalahgunaan kuasa semakin ketara dalam negara ini maka kerajaan perlu serius memantau dan merisik kegiatan yang dilakukan oleh ejen-ejen kerajaan terutama di kawasan yang berjauhan dengan pusat pentadbiran.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment