GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Wednesday, December 18, 2013

Lebihan akaun tangani aliran keluar modal asing


Publication: BH
Date of publication: Dec 13, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 003
Byline / Author: Oleh Mahanum Abdul Aziz

Malaysia mampu berdepan pengaliran keluar modal asing secara besar-besaran yang didorong tindakan pengurangan program rangsangan ekonomi Amerika Syarikat (AS), demikian mengikut kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka dunia, Nomura Group.

Ahli Ekonomi Nomura bagi Asia Tenggara, Euben Paracuelles, berkata kemajuan yang dicatatkan dalam lebihan akaun semasa menjadi faktor penampan utama bagi negara ini untuk berdepan sebarang pengaliran keluar modal asing secara besar-besaran.

Beliau berkata, kebiasaannya negara yang berdepan defisit akaun semasa akan berada dalam kedudukan yang rapuh untuk mengekang risiko pengaliran keluar modal asing itu seperti yang dihadapi Indonesia dan India pada Mei dan Jun lalu.

"Kemajuan yang dicatatkan dalam lebihan akaun semasa dengan mengehadkan import modal akan membantu Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk berdepan risiko pengaliran keluar modal asing yang didorong tindakan pengurangan pembelian bon bulanan oleh Rizab Persekutuan AS," katanya pada sidang media selepas menyampaikan taklimat mengenai Tinjauan Ekonomi 2014 di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Ketua Pakar Strategi Ekuiti Global Nomura, Michael Kurtz.

Paracuelles berkata, Nomura mengunjurkan lebihan akaun semasa Malaysia akan terus meningkat kepada AS$16.8 bilion tahun depan berbanding unjuran AS$10.8 bilion tahun ini didorong kemajuan yang dicatatkan eksport negara ini.

Mengenai prestasi ekonomi Malaysia tahun depan, Paracuelles berkata, Nomura mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.5 peratus tahun depan dan 4.3 peratus tahun ini sejajar dengan kemajuan yang dicatatkan ekonomi global.

Beliau berkata, terdapat dua faktor yang dilihat akan mengekang pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun mendatang iaitu pertumbuhan perlahan di China yang akan mengurangkan permintaan terhadap komoditi dan tindakan pengukuhan fiskal yang akan memberi kesan langsung kepada penggunaan dan pelaburan.

Katanya, Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang agak baik dengan mengambil kira langkah pengukuhan fiskal yang dilaksanakan kerajaan seperti pengurangan subsidi secara berterusan.

Inflasi dijangka meningkat

Mengenai inflasi, Paracuelles berkata, langkah pengurangan subsidi kerajaan akan memberi kesan kepada peningkatan kadar inflasi di negara ini.

Beliau berkata, inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 3.5 peratus tahun depan berikutan peningkatan harga bahan api dan kenaikan tarif elektrik dan 5.2 peratus pada 2015 berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli ekonomi Nomura itu berkata, Bank Negara Malaysia dijangka akan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 3.50 peratus pada separuh kedua tahun depan daripada paras tiga peratus ketika ini.

Mengenai ringgit, beliau berkata mata wang tempatan itu diunjur didagangkan pada paras RM3.21 berbanding satu dolar AS pada akhir 2014 dan RM3.28 pada akhir 2015 berikutan pengukuhan dolar AS yang didorong oleh langkah pengurangan program rangsangan ekonomi AS.

No comments:

Post a Comment