GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 17, 2013

Halang perhimpunan anti GST


ARKIB : 15/12/2013
Oleh NURSYAMIMI SAIDI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Pihak berkuasa digesa bertindak segera menghalang rancangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan perhimpunan yang didakwa bertujuan menghasut rakyat menolak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan tahun hadapan.

Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati mencetuskan huru-hara akibat perhimpunan tersebut.

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menjadi pemimpin kumpulan pembangkang yang sihat seperti pemimpin pembangkang Amerika Syarikat (AS), walaupun tewas tetapi masih menyokong dasar-dasar kerajaan, bukan dengan membawa pengikut mengadakan perhimpunan haram untuk menolak dasar kerajaan.

"Sudah cukup jelas bahawa cukai GST lebih murah berbanding cukai jualan dan perkhidmatan dan dia sendiri masih berpura-pura dalam soal percukaian walaupun pernah menjadi Menteri Kewangan negara suatu masa dahulu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Senator Datuk S. Nallakaruppan semalam yang mendakwa Anwar sedang merancang untuk menganjurkan perhimpunan bagi menghasut rakyat menolak pelaksanaan GST pada 20 Disember ini di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Menurut Hamidzun, beliau yakin pihak berkuasa sedang memantau perhimpunan itu dan polis wajar menangani perkara tersebut untuk melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan orang awam.

Sementara itu, Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar berpendapat, Anwar sengaja mahu mengadakan perhimpunan itu sebagai menutup isu moral yang dihadapinya dengan membawa pengikutnya berdemonstrasi menentang kerajaan.

"Dia sengaja mahu mengalihkan perhatian pengikutnya dan saya mahu mereka sedar bahawa mereka dibodohkan oleh pemimpin mereka yang bukan mahu memperjuangkan hak rakyat tetapi hanya mementingkan kuasa politiknya," katanya.

Tambahnya, kerajaan melaksanakan GST demi kemajuan ekonomi negara malahan negara luar yang sudah lama melaksanakan cukai tersebut terbukti berada di tahap yang membanggakan.

"Saya menggesa pihak berkuasa memandang serius perkara ini dengan menghalang sesiapa sahaja yang menyertai perhimpunan itu dan saya berharap rakyat tidak terpengaruh dan semakin faham tentang politik kotor yang dibawa Anwar Ibrahim," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment