GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Tuesday, December 17, 2013

Nilai, fikir sendiri dasar GST


ARKIB : 16/12/2013
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

PAKATAN pembangkang didakwa sedang merancang satu perhimpunan bagi menolak pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) minggu ini bagi mengambil kesempatan menanam rasa benci kepada kerajaan dalam kalangan rakyat yang masih keliru dengan sistem baharu itu.

Bagi mereka yang peka dan cuba memahami perkembangan GST, demonstrasi yang didakwa akan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim itu umpama menjilat ludah sendiri sedangkan beliau dikatakan yang pertama membawa GST ke Parlimen pada 1993 selaku Menteri Kewangan di samping beberapa kali menyatakan 'sokongan' terhadap sistem tersebut.

Umum memahami, mereka yang tidak faham GST akan menyertai demonstrasi tersebut tetapi jika golongan yang sememangnya faham dan menyokong pelaksanaan sistem cukai itu terlibat berdemonstrasi, ia menunjukkan amalan politik tidak matang pembangkang dan berpaksikan kepentingan peribadi semata-mata.

Bukannya kali pertama tetapi sudah berulang kali golongan ini menggunakan kekeliruan rakyat untuk memupuk kebencian terhadap pemerintah, menolak semua dasar dan program yang diadakan sama ada baik atau buruk asalkan dapat mengurangkan sokongan politik kepada kerajaan.

Tindakan yang hanya akan mengganggu rutin harian rakyat itu, 16 bulan sebelum GST mungkin dilaksanakan, dilihat tidak lebih daripada usaha memupuk budaya demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram yang sememangnya 'wajib' diadakan pembangkang sepanjang tahun.

Maka, tidak pelik apabila ada yang mengatakan pembangkang negara ini tidak berkualiti dalam kapasiti mereka sebagai 'pengimbang' pentadbiran negara kerana lebih taksub mengejar kuasa pemerintahan daripada mengutamakan keputusan terbaik untuk masa hadapan rakyat dan negara.

Bagi Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak, langkah mengajak rakyat ke jalan raya selepas diri sendiri bersetuju dengan GST menunjukkan pihak terbabit tidak konsisten dan tidak matang berpolitik.

"Sudah sokong tapi nak berdemonstrasi juga, cakap tidak serupa bikin. Jika mereka memerintah pun saya yakin mereka akan laksana GST juga.

"Seperti bila Selangor naikkan gaji tetapi menguntung segelintir exco sahaja, mereka tidak konsisten. Tetapi jika mahu buat demonstrasi juga itu hak demokrasi mereka, asalkan ikut peraturan," katanya.

Beliau kesal melihatkan pembangkang masih tidak dapat membezakan antara isu politik dan isu negara sedangkan perlu juga melihat kewajaran mempolitikkan sesuatu perkara agar tidak menjejaskan negara kelak.

Tambahnya, semua perkara boleh dipolitikkan jika mahu mengejar keuntungan peribadi atau kumpulan tertentu, tetapi isu seperti GST melibatkan polisi negara dan lebih wajar didebatkan di Parlimen.

"Sekarang ada ramai ahli pembangkang di Parlimen, kenapa tidak debatkan isu ini di sana, kemukakan hujah-hujah dan bukannya membuat demonstrasi, heret rakyat ke jalan raya.

"Jika terus begini, negara tidak akan berkembang. Kita kena tahu had-had berpolitik, biar bijak dan rasional. Ada Parlimen gunakanlah untuk bincang isu polisi. Pembangkang tidak patut heret rakyat ke jalan raya, ini menunjukkan mereka tiada kematangan berpolitik," ujarnya.

Pemerhati antarabangsa dan keselamatan, Mohamad Faisol Keling pula melihat masalah sebenar lebih besar daripada demonstrasi dan perhimpunan haram kerana pembangkang sebenarnya mengambil kesempatan atas kelemahan rakyat untuk berfikir sendiri.

"Demonstrasi bukan masalah utama kita, sama ada dalam isu GST, blackout, 40,000 pengundi Bangladesh mahupun isu Syiah. Masalah utama adalah ramai kalangan kita yang lemah kuasa berfikir dan lebih selesa menerima bulat-bulat apa dikatakan orang tanpa usul periksa.

"Ramai yang tidak berfikir secara kreatif, tidak boleh buat analisis sendiri, taksub dan terima apa saja orang kata. Ambil contoh isu Syiah, perkara yang nyata lagi jelas bertentangan dengan Islam tetapi ada yang sokong selepas pemimpin atau 'ulama' mereka nyatakan sokongan," tegasnya.

Tambahnya, tanpa kematangan dan kuasa berfikir sendiri, mana-mana pihak boleh mencipta apa jua isu pada bila-bila masa termasuk benda tidak masuk akal tetapi tetap diterima masyarakat dan menjadi ikutan ahli-ahli yang taksub.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada punca masalah kurangnya daya fikir rakyat daripada melayan demonstrasi pembangkang yang hanya mengambil kesempatan di atas kelemahan anggota masyarakat.

"Untuk tangani masalah demonstrasi, bukan sahaja dalam isu GST atau Syiah, kerajaan perlu tingkat kemampuan rakyat untuk berfikir sendiri secara matang dan kreatif. Tingkatkan mutu pendididkan, berikan penerangan melalui media massa secara berterusan dan pupuk pemikiran secara kritis.

"Lihat sahaja kesan masalah ini, orang tuduh ada 40,000 pengundi Bangladesh pun pengikutnya percaya bulat-bulat. Bila orang yang sama nafi pernah buat tuduhan itu, pengikutnya percaya juga. Terima bulat-bulat dan tidak berfikir sendiri," jelas Mohamad Faisol.

Dalam isu GST katanya, seolah-olah ia agenda peribadi atau agenda parti dalam kerajaan sedangkan setiap dasar melalui proses penilaian dari peringkat paling rendah ke jabatan dan kementerian sebelum dibawa untuk perbahasan dan undian di Parlimen untuk dilaksanakan.

Beliau melihat rakyat yang tidak nampak aturan proses itu mudah dimanipulasi dan percaya momokan pihak lain sedangkan pihak itu juga mempunyai ahli yang ramai di Parlimen untuk berhujah mahupun menghalang pelaksanaannya.

"Lebih malang lagi bila golongan yang boleh berfikir juga turut serta dalam demonstrasi sebegini demi kepentingan peribadi individu ataupun parti kesayangan mereka.

"Ini sindrom pemikiran lemah sehingga mudah dimanipulasi orang lain, sampaikan sanggup menyokong benda yang jelas salah seperti dalam isu Syiah. Agama, bangsa dan negara boleh terancam jika rakyat tidak boleh berfikir sendiri," ujarnya.

Mohamad Faisol bagaimanapun tidak meletakkan tanggungjawab membuka akal fikiran rakyat di bahu kerajaan sahaja kerana setiap individu perlu ada keazaman sendiri untuk meluaskan pemikiran daripada hanya mengikut telunjuk orang lain.

Beliau merasakan proses mempengaruhi rakyat masih berlaku selepas pilihan raya lalu, dari demonstrasi blackout sehingga kini ke isu GST tetapi berharap kerajaan tidak fokus kepada satu-satu isu dimainkan pembangkang sebaliknya menyelesaikan punca utama masalah tersebut.

"Jika rakyat boleh berfikir sendiri, tahu menilai isu dibangkitkan dan tindakan pihak terbabit, mereka dapat bezakan mana yang betul, salah dan terutama sekali mana yang tipu daya. Demonstrasi GST belum tentu berjaya jika rakyat dapat menilai dan berfikir sendiri," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment