GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Rakyat perlu penjelasan mengenai GST


Publication: BH
Date of publication: Oct 30, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 030
Byline / Author: Oleh Mohd Yusof Abdul Rahman

Selepas bertahun-tahun menangguhkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak mula diperkatakan dalam Bajet 2005, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan mulai 1 April 2015, dalam pembentangan Bajet 2014 pada Jumaat lalu.

Agak memeranjatkan apabila kadar GST yang akan dikenakan ialah 6 peratus, bukannya 4 peratus seperti yang diunjurkan sebelum ini. Namun begitu, angka itu juga tidak menghairankan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pernah membayangkan kerajaan akan mengutip sehingga RM27 bilion sekiranya GST dikenakan pada kadar 7 peratus.

Tampung defisit fiskal

Ini seolah-olah menunjukkan kerajaan mungkin mengenakan kadar dalam lingkungan itu bagi memperoleh jumlah hasil daripada kutipan cukai yang dapat menampung defisit fiskal negara.

Kerajaan memperuntukkan masa 15 bulan untuk melaksanakan GST. Memang kerajaan sudah mengadakan sesi penerangan GST sejak 2006 lagi apabila ura-ura GST akan dilaksanakan pada 1 Januari 2007 dulu. Sejak itu, sesi penerangan kepada pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, persatuan peniaga, persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya, diadakan.

Namun begitu, apa yang kurang ialah penerangan mengenai GST kepada rakyat. Tidak ada sebarang kempen penerangan dan risalah GST disebarluaskan kepada rakyat sehingga kini. Rakyat masih tidak jelas apakah kesannya GST kepada mereka apabila dilaksanakan. Adakah berlaku kenaikan atau penurunan harga barang atau perkhidmatan apabila GST dikuatkuasakan? Akibat kurangnya penerangan, maka pelbagai salah faham timbul mengenai GST.

Kerajaan perlu menggunakan jenteranya untuk menerangkan GST pada peringkat akar umbi. Jabatan Penerangan wujud pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Namun, peranan agensi kerajaan ini gagal digembleng sepenuhnya untuk memberikan kefahaman kepada rakyat mengenai GST. Masalah yang sama juga berlaku berhubung isu rasionalisasi subsidi.

Dalam tempoh 15 bulan ini, kerajaan sewajarnya menggunakan semua jentera agensi untuk memberikan penerangan mengenai GST, termasuk bekerjasama dengan NGO, seperti persatuan pengguna. Penerangan GST perlu dibuat secara telus dan mudah difahami rakyat.

Penerangan GST perlu jelas

Rakyat perlu dijelaskan kesan sebenar GST kepada mereka. Jika berlaku kenaikan harga barang, maka ia perlu dijelaskan supaya tidak berbangkit sesuatu isu apabila GST dilaksanakan kelak. Pada masa sama, bahan bacaan dalam pelbagai bahasa mengenai GST perlu diterbitkan agar semua peringkat masyarakat memahami GST.

Dalam melaksanakan GST, kerajaan boleh mengambil model di Australia, apabila Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan GST. ACCC ditugaskan memberikan penerangan kepada rakyat Australia, menerbitkan buku panduan, risalah, panduan harga dan sebagainya. ACCC juga diberi tanggungjawab memantau pelaksanaan GST. Badan seumpama itu perlu diwujudkan di Malaysia.

Selain itu, kerajaan juga wajar membuat simulasi pelaksanaan GST sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 1 April 2015. Sektor perniagaan tertentu seperti pasar raya besar boleh melaksanakan GST lebih awal sebagai projek rintis. Ini bagi memantau keberkesanan pelaksanaan GST. Sekiranya ada sebarang kelemahan, maka ia boleh diperbaiki sebelum dilaksanakan sepenuhnya kelak.

GST memberikan kesan besar kepada rakyat. Namun, jika pelaksanaannya tidak dibuat secara menyeluruh dan telus, dibimbangi pelaksanaannya memberi kesan negatif kepada kerajaan kelak.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

No comments:

Post a Comment