GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Malaysia tidak sesuai laksana GST


| October 26, 2013

PAS mengatakan perlaksanaanya hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya memboroskan wang rakyat

PETALING JAYA: PAS mendakwa pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah cara kerajaan mengambil wang rakyat bagi menambahkan pendapatan negara.

Oleh itu, PAS tetap membantah GST dan mengatakan perlaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya ianya terus berboros dengan duit rakyat.

Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media hari ini.

Rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila ia diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada enam peratus.

Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar tiga peratus sebelum beransur menjadi tujuh peratus.

“Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.

“Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk perlaksanaan GST,” katanya.

PAS kata Tuan Ibrahim juga membantah dakwaan bahawa peluasan asas cukai ini mustahak untuk negara kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini.

Cukai tersembunyi

Sebaliknya, katanya rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka, umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.

“Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian,” tambah beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST.

Menurutnya, pada hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam boleh dikenakan GST.

“Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

“Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minima perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal,” katanya lagi.

Menurut Tuan Ibrahim perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, tetapi kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.

Sehubungan itu, katanya untuk memastikan GST berfungsi dengan baik iaitu menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan perlu dilakukan secara saksama dan adil.

Sengaja mengenakan GST

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST pada pelanggannya untuk mendapatkan pendapatan lebih.

Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula malangnya tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Tuan Ibrahim juga mendakwa, akibat rasuah yang berleluasa, banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda.

Syarikat-syarikat ini menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan pada rakyat awam, katanya.

“Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk perlaksanaan GST.

“Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion di 2013 ke RM217.7 bilion di 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion dari RM208.6 bilion di 2013 ke RM224.1 bilion di 2014.

“Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion di 2013 ke RM46.5 bilion di 2014,” katanya.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatannya.

No comments:

Post a Comment