Posted on October 29, 2013, Tuesday
KUCHING: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) harus dilaksanakan secara berperingkat selari dengan pendapatan rakyat.
Aktivis sosial Wan Zain Syed Mohdzar berpendapat, Belanjawan 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini tidak mempunyai perbezaan dengan belanjawan pada tahun sebelumnya kecuali pengumuman mengenai pelaksanaan GST yang berkuat kuasa pada April 2015 nanti.
“Saya berpendapat GST harus dilaksanakan secara berperingkat selari dengan pendapatan rakyat bermula daripada empat peratus sebagai contoh,” ujar Wan Zain ketika dihubungi kelmarin.
Menurutnya, dari situ GST boleh dinaikkan secara berperingkat setelah timbul tanda-tanda pendapatan isi rumah bertambah.
“Persoalannya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, adakah kerajaan mampu menambah peningkatan pendapatan isi rumah menerusi belanjawan ini?
“Belanjawam yang dibentangkan juga masih belum dapat menjamin menambah baik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM24,000 kepada RM34,000 menjelang 2015 dengan pelaksanaan GST dan keadaan ekonomi yang tidak menentu,” jelas Wan Zain.
Namun begitu, beliau menyambut baik cadangan menstruktur semula cukai pendapatan individu dan syarikat serta Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) tetapi pada masa yang sama berpendapat kerajaan harus mempertimbangkan cara untuk menambah pendapatan isi rumah termasuk struktur tangga gaji penjawat awam sebelum GST dilaksanakan.
“Jika pihak kerajaan tidak dapat mencari jalan untuk menambah pendapatan isi rumah serta menambah baik struktur tangga gaji penjawat awam, maka penduduk luar bandar dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap akan merasa beban yang berat terhadap pelaksanaan GST.
“Belanjawan 2014 menggariskan berbagai pendekatan di mana sejumlah besar daripadanya adalah untuk membiayai kos perkhidmatan dan oleh itu, kerajaan wajib telus dalam melaksanakan program dan projek pembangunan supaya tidak berlaku ketirisan dana,” katanya.
Jelasnya, sekiranya pihak kerajaan gagal menjamin kumpulan sasar menerima serta menikmati program dan projek pembangunan yang dinyatakan, maka usaha kerajaan untuk meningkatkan KDNK dalam masa 17 bulan akan gagal dan berkemungkinan penambahan jurang di antara golongan miskin dan kaya akan berlaku.
Sementara itu, penarikan subsidi gula sebanyak 34 sen sudah tentu akan mengakibatkan kenaikan harga barangan lain yang berasakan bahan tersebut.
“Gula digunakan serta dicampur untuk membuat hampir semua jenis makanan dan minuman dan oleh yang demikian secara automatik harga barangan di pasaran sudah tentu akan naik,” tambahnya.
Wan Zain turut berpendapat, pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya merupakan skim jangka pendek dan kedudukan kewangan bagi penerima adalah tetap sama walaupun selepas menerima agihan tersebut.
“Apa sebenarnya yang berlaku ialah pasaran akan dipenuhi dengan wang tunai hampir RM4.7 bilion,” ujarnya.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membina projek lebuh raya Pan Borneo melewati kawasan pesisiran supaya ia dapat membantu membangunkan sosioekonomi penduduk di sekitarnya pada masa depan.
No comments:
Post a Comment