GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

GST: Sering tukar kenyataan, bukti pembangkang tidak tetap pendirian


OCTOBER 31, 2013


Pembangkang terbukti tidak tetap pendirian kerana sering menukar kenyataan berhubung pelbagai isu termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang habis-habisan pelaksanaan GST, bagaimanapun hari ini lain pula pandangannya.

Malah Anwar pernah menegaskan pakatan pembangkang akan melakukan bantahan di seluruh negara dalam masa terdekat berhubung pelaksanaan GST sebanyak 6% bermula 1 April 2015, katanya kepada pemberita di Yan, Kedah hari ini.

Shafie mengulas kenyataan Anwar hari ini bahawa bantahan pembangkang terhadap pelaksanaan GST bukan bermaksud bantahan kepada sistem percukaian itu, tetapi terhadap kesediaan negara untuk melaksanakannya.

Anwar turut mengakui bahawa sistem percukaian itu adalah suatu sistem yang efisien dan telus serta memberi kebaikan kepada pendapatan negara.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali pada persidangan Dewan Rakyat menegaskan pakatan pembangkang tidak pernah menolak GST, malah mengakui ia adalah satu sistem percukaian yang cukup telus, efisien dan dalam jangka masa panjang mampu memberi kebaikan kepada sistem ekonomi negara.

Shafie yang sebelum itu menyampaikan bantuan untuk membaiki rumah berjumlah RM100,000 kepada 20 keluarga sumbangan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, Kedah, menegaskan rakyat perlu sedar parti pembangkang sering menukar pendirian sehinggakan tidak tahu mana satu yang betul.

"Mereka berceramah di kampung-kampung kata GST bebankan rakyat. Tetapi di tempat lain, buat kenyataan hendak laksana GST pula. Memang tiada pendirian langsung," katanya.

Beliau berkata kerajaan tentunya melaksanakan sesuatu pendekatan yang telah disusun atur secara terancang bagi memperkukuhkan serta memantapkan ketahanan ekonomi negara.

Shafie berkata pelaksanaan GST menjadi kontroversi sebelum ini kerana rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas mengenainya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengakuan Anwar itu menunjukkan bahawa pihak kerajaan selama ini sememangnya ikhlas dalam membangunkan negara.

Isu GST menjadi semakin tidak jelas apabila rakyat hanya mendengar khabar angin dan maklumat negatif mengenainya dan menyebarkannya pula kepada orang lain, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama masyarakat di Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai G-IV.

Dalam pada itu, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata golongan petani, peladang dan nelayan di negara ini bertuah kerana mendapat pelbagai insentif daripada kerajaan dan bantuan badan bukan kerajaan untuk mewujudkan pendapatan kedua.

"Bahkan saya tengok di Jerai ini terutamanya Yan, dah ada branding (jenama) kalau kita sebut minum nira, orang akan tanya nira Yan atau Sedaka.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 petani, peladang dan nelayan selain masyarakat setempat, Jamil Khir turut menyampaikan bantuan Azam Tani berjumlah RM53,500, Industri Asas Tani (RM40,000) Usahawan Tekun Parlimen Jerai bernilai RM300,000 dan bantuan zakat dari Agro Bank berjumlah RM3,000.

Jamil Khir turut mengumumkan peruntukan RM50,000 bagi pembinaan surau bagi Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai G-IV.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata media perlu memperbanyakkan laporan dalam memberi penjelasan terperinci mengenai GST kepada masyarakat bagi mengatasi tohmahan pembangkang yang mahu mengelirukan rakyat mengenai isu itu.

Katanya, masyarakat luar bandar khususnya, perlu disalurkan dengan maklumat tepat mengenai GST yang diperkenal untuk mengelak orang tengah mengaut keuntungan atas angin dalam sektor barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata demikian kepada Bernama semasa majlis beramah mesra bersama penduduk di Kampung Bukit Choras dekat Yan, semalam.

Katanya media massa, terutama Bernama selaku agensi berita kerajaan perlu memainkan peranan mendidik rakyat mengenai GST serta isu-isu lain memandangkan banyak saluran yang digunakan pembangkang untuk memutarbelitkan sesuatu perkara yang dijalankan kerajaan. – Bernama, 31 Oktober, 2013.

No comments:

Post a Comment