GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Bajet perkukuh ekonomi


Publication: BH
Date of publication: Oct 30, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Zuraidah Mohamed

Kuala Lumpur: Bajet yang meletakkan keutamaan tepat, seimbang dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi perlu diteruskan untuk tempoh beberapa tahun akan datang bagi membolehkan Malaysia berada pada landasan kukuh menjadi sebuah negara maju seawal 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Jumaat lalu boleh dijadikan asas kepada bajet akan datang kerana teras digariskan meliputi semua aspek menyeluruh.

Beliau berkata, keyakinan mengenai keupayaan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi lebih awal daripada sasaran tahun 2020 juga bersandarkan laporan Bank Dunia semalam, yang menempatkan Malaysia di tempat keenam sebagai negara paling berdaya saing dalam menjalankan perniagaan daripada tempat ke-12 tahun lalu.

"Malaysia seharusnya meneruskan bajet seumpama ini setiap tahun yang meletakkan semua keutamaan yang tepat, seimbang, mempunyai ketelusan serta mampu mendorong kepada kerancakan pertumbuhan ekonomi.

Sasar perkapita AS$15,000

"Ia akan meletakkan Malaysia pada landasan kukuh untuk mencapai negara dengan pendapatan perkapita AS$15,000 seawal 2018. Kemajuan negara pada masa ini dilihat daripada kerancakan pelaburan swasta serta penurunan defisit fiskal secara konsisten sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Global Malaysia Series bertajuk 'Banking on ASEAN: Leveraging the Growth Potential of Southeast Asia' anjuran ETP di sini, semalam.

Global Malaysia Series kali ini memberi penghargaan kepada Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak sebagai penceramah.

Idris yang juga Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) berkata, Malaysia secara konsisten menurunkan defisit fiskalnya daripada 6.6 peratus pada 2009 kepada 4.5 peratus tahun lalu, dan yakin sasaran empat peratus mampu dicapai tahun ini.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Idris berkata, keputusan kerajaan itu dilihat tepat dalam membetulkan kelemahan dalam sistem cukai sedia ada serta mengurangkan defisit belanjawan.

"Kerajaan mengambil masa persediaan selama 17 bulan untuk melaksanakan GST ini dengan mengambil kira semua faktor sebelum pelaksanaannya.

60 negara laksana GST

"Saya yakin ia (GST) boleh diterima semua pihak secara berperingkat kerana sistem GST ini sudah dilaksanakan di 60 negara termasuk yang kurang maju daripada Malaysia," katanya.

Sementara itu, Nazir mencadangkan supaya ASEAN mempunyai satu pelan induk perbankan yang menyediakan hala tuju jelas mengenai pembentukan perbankan serantau selaras pelaksanaan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang 2015.

No comments:

Post a Comment