GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Penjelasan besar-besaran sistem cukai akan dilaksana


Publication: BM
Date of publication: Oct 27, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 005

Kuala Lumpur: Program penerangan besar-besaran mengenai mekanisme pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dilaksana dalam tempoh terdekat bagi memberi pemahaman jelas dan tepat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata ia membabitkan dua agensi utama iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Kewangan.

Katanya, satu Rang Undang-Undang GST akan dibentang di Dewan Rakyat bagi meminda undang-undang cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Program penerangan itu turut membabitkan pelbagai medium komunikasi, termasuk iklan media elektronik dan cetak serta radio," katanya selepas merasmikan Majlis Taklimat Bajet 2014 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini, semalam.

Beliau berkata, pengenalan sistem GST di Malaysia adalah yang terbaik berbanding negara ASEAN lain.

Bukan cukai tambahan

Di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, GST bukan cukai tambahan untuk membebankan rakyat, sebaliknya dilaksana bagi menghapuskan SST yang dikenakan ke atas produk dan barangan sekarang.

Katanya, kerajaan tidak melihat pengenalan GST sesuatu yang membebankan kerana kadar ditetapkan amat berpatutan dan relevan berbanding kadar lebih tinggi dilaksana beberapa negara ASEAN.

"Sebenarnya rakyat sudah dimomok dengan maklumat tidak tepat mengenai GST oleh pembangkang. Justeru, rakyat tidak perlu marah dengan pengenalan cukai itu. Kadar ditetapkan rendah berbanding Singapura dan Thailand iaitu tujuh peratus," katanya.

Beri pemahaman sebaiknya

Di Shah Alam, Tun Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan memberi penerangan sejelas-jelasnya mengenai pelaksanaan GST bagi memastikan rakyat faham kebaikan serta kelebihan langkah itu.

Bekas Perdana Menteri berkata, masyarakat di semua lapisan perlu diberi pemahaman apa sebenarnya cukai itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan, termasuk rasional di sebalik keputusan terbabit, sekali gus menangkis suara yang membuat tohmahan kononnya ia akan membebankan rakyat.

"Isu GST sudah kita cakap sejak dua tahun lalu dan sudah ada penerimaan serta ada yang memahami perkara ini. Jadi, setelah ia dibentangkan dalam bajet, kerajaan perlu tunjukkan keyakinan bahawa langkah ini akan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya berpendapat adalah penting untuk kerajaan memberi pemahaman baik di peringkat universiti atau organisasi mengenai perkara ini. Apabila kita bersedia umumkan GST ini, pada masa sama kita perlu bersedia untuk perkenalkannya kepada rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment