GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Kakitangan awam dapat faedah


Publication: BH
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 010

Permintaan CUEPACS yang mewakili sebahagian besar daripada 1.4 juta kakitangan awam di negara ini lazimnya akan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan dalam setiap pembentangan bajet. Bagi mengetahui sama ada pembentangan Bajet 2014 semalam berjaya memenuhi permintaan dan harapan kesatuan sekerja terbabit, ikuti temuramah wartawan BH, Razak Rashid Ghows dengan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

S: Secara keseluruhannya, bagaimana Datuk melihat Bajet 2014 ini?

J: Bajet kali ini disifatkan sebagai komprehensif dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sederhana dan golongan berpendapatan rendah dalam keadaan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat. Walaupun tidak semua permintaan kami dipenuhi, kami lihat faedah turut diberikan dalam bentuk lain dan berharap kakitangan awam tidak hanya memandang bonus saja. Ia termasuk kemudahan dari segi kesihatan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang merangkumi penjawat awam bergaji RM4,000 ke bawah. Mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pemansuhan subsidi gula, kita bimbang kesannya terhadap harga barang dan makanan. Di negara lain apabila GST dilaksanakan, penguatkuasaannya amat berkesan, dan harap di negara kita pasukan penguat kuasa juga kuat.

S: Seperti biasa dalam setiap pengumuman bajet, kakitangan perkhidmatan awam akan menunggu 'durian runtuh' atau bonus seperti diumumkan semalam.

J: Walaupun bonus yang diberikan hanya setengah bulan, tapi dalam keadaan ekonomi tak seimbang ini pun, kerajaan masih lagi dapat menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tunjang utamanya. Ini adalah tambahan kepada pembayaran RM500 yang diperoleh sebelum sambutan Aidilfitri lalu, yang mana pesara kerajaan juga memperoleh bantuan khas sebanyak RM250. Selain itu, pada 1 Julai lalu, kakitangan kerajaan juga mendapat Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) iaitu kenaikan berpanjangan.

S: Apa pula pandangan Datuk dengan kesediaan kerajaan untuk menambahbaik 81 skim perkhidmatan pelbagai peringkat mulai November ini, bagi menghargai sumbangan penjawat awam?

J: Perancangan itu sudah pun diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam pada 11 Mac lalu. CUEPACS sememangnya sedia tahu bahawa perkara ini berada dalam tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan gembira apabila mengetahui bahawa ia akan dilaksanakan mulai November.

S: Dalam Bajet 2014, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengambil tindakan terhadap salah laku penjawat awam, susulan Laporan Ketua Audit Negara 2012. Apa pendirian CUEPACS terhadap penubuhan jawatankuasa ini?

J: Kita sememangnya menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas itu. Sekiranya imej penjawat awam dan integriti mereka baik, sudah tentunya kerajaan tidak perlu menubuhkan apa-apa jawatankuasa seumpama. Namun apa yang kita lihat daripada laporan Ketua Audit, ia sudah tentunya boleh menjejaskan imej dan integriti kerajaan. CUEPACS mencadangkan supaya kerajaan turut melantik wakilnya dalam jawatankuasa terbabit supaya agar wujud keseimbangan dan tidak ada tindakan berat sebelah.

S: Kerajaan turut menubuhkan Unit Pengurusan Integriti dianggotai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di setiap kementerian, apa komen Datuk?

J: Sekarang sudah ada pegawai tertentu yang dilantik untuk menjaga integriti, tapi bukan dalam bentuk jawatankuasa khusus. Penubuhan satu unit khas menunjukkan bahawa kerajaan benar-benar serius dalam usaha menangani isu berkaitan integriti. Kehadiran pegawai SPRM boleh meningkatkan keberkesanan, semoga penjawat awam lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas masing-masing. Bagaimanapun sekali lagi CUEPACS berpendapat elok ada juga wakil pekerja bagi memberi pandangan dan maklum balas.

No comments:

Post a Comment