GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Dengar suara hati rakyat


Publication: BH
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 012

Daripada rasionalisasi subsidi gula, kesejahteraan kesihatan, kawalan harga hartanah dan pembangunan usahawan, semua aspek tidak terlepas daripada perhatian kerajaan. Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan reaksi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Model Pelabur Hartanah Strategik, Ahyat Ishak mengenai Bajet 2014 yang diumumkan semalam.

S: Bajet 2014 secara spesifik menyediakan dana untuk pinjaman mudah kepada peniaga pasar malam. Sebagai usahawan muda, apa pendapat anda mengenai inisiatif berkenaan.

J: Ini satu pendekatan yang saya puji dan gembira mendengarnya. Nampaknya kerajaan dengar 'suara hati' orang di bawah. Kita tahu ramai Bumiputera berniaga di pasar malam dan saya percaya langkah menyediakan dana untuk mereka akan memberi kesan yang baik. Menerusi inisiatif itu, peniaga kecil tidak perlu lagi meminjam daripada ceti haram dan ia juga bukti kerajaan memang mahu bantu mereka. Menariknya kadar pinjaman yang diberikan untuk usahawan pasar malam lebih tinggi daripada pinjaman mikro yang sudah diberikan sebelum ini.

S: Bidang hartanah juga berkaitan dengan keusahawanan. Apa kesan pendekatan bagi mengawal harga pasarannya.

J: Pendekatan kerajaan kali ini saya nampak lebih memihak kepada rakyat dengan menutup semua ruang untuk spekulator hartanah mengaut keuntungan sehingga harga aset itu melambung. Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dapat menyekat pelaburan jangka pendek dan spekulasi. Begitu juga langkah meminta pemaju jujur menyatakan fakta mengenai penjualan rumah. Bagaimanapun, polisi baru dalam industri hartanah mungkin menakutkan pelabur terutama dari Singapura. Kesan secara tidak langsung daripada dasar itu akan menimpa industri sampingan dalam sektor pembinaan dan hartanah. Langkah meningkatkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli warga asing daripada RM500,000 kepada RM1 juta juga satu berita buruk kepada pemaju yang sudah melabur untuk projek hartanah dengan harga jualan antara RM500,000 hingga RM1 juta. Dikhuatiri hartanah RM500,000 hingga RM1 juta banyak yang akan tidak terjual. Apa pun saya lihat pendekatan yang diumumkan itu mungkin langkah mesra rakyat diperkenalkan kerajaan yang mahu rakyat memiliki rumah sendiri. Saya juga melihat ini serampang dua mata untuk mengekang spekulasi, mengawal serta menstabilkan harga rumah dengan menambah rumah mampu milik untuk golongan pendapatan rendah dan sederhana.

S: Bagaimana pula dengan penstrukturan semula cukai dan rasionalisasi subsidi.

J: Mengenai subsidi gula, saya lihat kerajaan cuba bertindak wajar supaya orang yang benar-benar layak saja mendapat subsidi. Nampaknya pertimbangan yang dibuat kerajaan kali ini mengambil kira baik buruk kesannya kepada kerajaan. Sebenarnya bukan mudah untuk kerajaan mengambil langkah ini.

S: Berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), apa kesannya nanti kepada rakyat dan peniaga kerana sebelum ini ramai yang khuatir ia akan menyusahkan rakyat dan beri kesan kepada harga barang.

J: Kadang-kadang rakyat selalu buat kesimpulan sebelum perkara dilaksanakan, percaya kepada khabar angin. Hakikatnya GST sudah lama dilaksanakan di negara lain dan ia praktikal. Saya percaya kepada kerajaan dalam pelaksanaan GST dan mohon penerangan melalui pelbagai jaringan komunikasi dilaksanakan supaya rakyat faham dan menerimanya. GST sudah lama dibincangkan bijak pandai dan ahli ekonomi, jadi ia perlu diteruskan. Rakyat jangan mudah percaya dengan 'pakar ekonomi' kedai kopi kerana mereka tiada kelulusan. Pada pakar ekonomi sebenar, GST patut dilaksanakan di mana-mana negara sekali pun dan bagi Malaysia, ia sewajarnya dilaksanakan sejak dulu lagi.

S: Bagaimana pula dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang masih diteruskan dengan peluasan syarat penerima bantuan.

J: Bantuan ini sampai terus kepada golongan yang ingin dibantu kerajaan, maksudnya kerajaan ambil pendekatan bantu orang yang layak. Berbanding kes subsidi seperti minyak yang mana ada orang bawa kereta mewah dapat subsidi yang sama dengan orang yang hanya naik kereta kecil. Mungkin ada yang kata bantuan seperti itu menjadikan rakyat manja, tetapi ia sebenarnya menunjukkan kerajaan serius ingin membantu rakyat.

No comments:

Post a Comment