GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Bajet 2014 - Revolusi yang berani


Publication: BH
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 005
Byline / Author: Oleh Zulkifli Hamzah

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mencetuskan perbahasan hangat, akhirnya akan menjadi suatu realiti. Berkuat kuasa 1 April 2015, GST akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Kita percaya keputusan yang berani ini akan mengukuhkan asas perolehan kerajaan dan diterima baik oleh pelabur serta pemerhati antarabangsa, terutama agensi penarafan.

Pelaksanaan GST akan meningkatkan profil kredit kerajaan dan mendorong kepada pengukuhan asas nilai mata wang ringgit dalam jangka masa terdekat ini.

GST adalah satu revolusi fiskal, yang akan mengalihkan beban cukai negara daripada cukai langsung kepada cukai tidak langsung. Namun, beberapa langkah untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan dilaksanakan seiring penguatkuasaan GST.

Justeru, rakyat perlu berganding bahu mengambil pendekatan yang praktikal terhadap inisiatif ini.

Kurangkan subsidi

Kerajaan kini komited memperbaiki kedudukan fiskal awam. Selain GST, kerajaan juga mengurangkan peruntukan subsidi kepada RM39.4 bilion bagi 2014, berbanding RM46.7 bilion pada 2013.

Kerajaan mengurangkan subsidi ke atas bahan api petroleum sebanyak 20 sen seliter pada 3 September lalu. Bajet 2014 pula menghapuskan terus subsidi gula, suatu komoditi yang lebih membawa mudarat daripada kebaikan kepada kesihatan umum.

Penghapusan subsidi adalah langkah ke arah memperkenalkan kuasa pasaran di dalam menilai sumber ekonomi yang terhad. Ini akan meningkatkan kecekapan di dalam penggunaan dan mengukuhkan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia.

Berdasarkan inisiatif dan insentif yang dibentangkan, kita percaya jangkaan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima hingga 5.5 peratus bagi 2014 boleh dicapai, dengan syarat sektor luaran tidak mengalami kemelesetan.

Pemulihan eksport Malaysia kini amat memberangsangkan dan momentum ini dijangka berterusan sehingga 2014.

Bagi tahun ketiga berturut-turut, sektor pembinaan dijangka mendahului kadar pertumbuhan di antara sektor ekonomi di Malaysia. Hal ini berikutan kemajuan pelaksanaan projek yang dilancarkan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang, kita juga mengiktiraf usaha kerajaan mewujudkan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi perkembangan keusahawanan di Malaysia.

Insentif PKS

Dalam hal ini, kita mengalu-alukan pelbagai insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkandung dalam Bajet 2014.

Penekanan terhadap peningkatan produktiviti dan inovasi dalam industri kecil dan sederhana adalah selari dengan teras baru yang akan disuntik ke dalam sektor perkhidmatan di Malaysia.

Pelan Sektor Perkhidmatan yang akan dilancarkan tahun depan juga sesuatu yang dinanti-nantikan kerana sebahagian besar daripada keluaran negara kini disumbang oleh sektor perkhidmatan.

Segala perancangan yang dicadangkan dalam Bajet 2014 adalah untuk mewujudkan rangka kerja yang holistik bagi pembangunan dan pertumbuhan sektor ini.

Pacu sektor perkhidmatan

Bagi MIDF, cadangan menyemarakkan sektor perkhidmatan adalah suatu inisiatif yang bijak. Sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Negara akan terus bergantung kepada sektor ini pada masa depan. Pendekatan menyeluruh boleh menggiatkan pertumbuhan sektor perkhidmatan supaya ia kekal tumbuh melebihi lima peratus setiap tahun.

Pelan Tindakan Sektor Perkhidmatan yang dilancarkan pada 2014 menjadi pemangkin kepada aktiviti perkhidmatan yang lebih bersepadu.

Perkukuh sektor kewangan

Sektor kewangan sebagai contoh adalah subsektor perkhidmatan yang disuntik nafas baru apabila Pelan Induk Sektor Kewangan diperkenalkan oleh Bank Negara dan Pelan Induk Pasaran Modal diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Bajet 2014 juga mencadangkan suntikan kepada subsektor seperti logistik, perkapalan, penerbangan dan pelancongan.

Kesimpulannya, Bajet 2014 adalah suatu revolusi yang berani. Sikap 'berani kerana benar' penting di dalam kepemimpinan ekonomi.

Reaksi pasaran kewangan apabila dibuka Isnin nanti akan menjadi tanda ukur penerimaan global terhadap rancangan kerajaan.

Memang tidak disangkal bahawa kesihatan fiskal negara bukanlah berada pada tahap yang optimum. Apa yang penting ialah kerajaan mengambil langkah bertanggungjawab dengan tidak memperjudikan masa depan negara.

* Penulis ialah Ketua Penyelidikan di MIDF Research

No comments:

Post a Comment