GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Insentif industri automotif diumum tak lama lagi


Publication: BH
Date of publication: Oct 29, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Ahmad Farizal Hajat

KERAJAAN akan mengumumkan insentif khusus bagi industri automotif secara berasingan, iaitu pada pengumuman Dasar Automotif Nasional (NAP) tidak lama lagi.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata semua peserta automotif serta pengguna tidak perlu gusar kerana sebarang perkara membabitkan pembangunan sektor itu akan diketengahkan dalam NAP nanti.

"Ketiadaan pengumuman insentif atau perkara yang berkaitan industri automotif pada pembentangan Bajet 2014 Jumaat lalu, bukan bermakna kerajaan tidak memberi perhatian kepadanya.

"Seperti yang anda ketahui, Bajet 2014 sangat meluas (liputannya), terdapat banyak perkara dan pelbagai segmen yang diketengahkan, terutama mengenai penstrukturan semula sistem percukaian negara iaitu pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta penekanan dalam beberapa aspek utama lain.

"Pembentangan bajet berkenaan memakan masa lebih dua jam, jadi kita tidak boleh mengetengahkan segala-galanya dalam tempoh itu.

"Justeru, semua isu dan perkara berkaitan sektor automotif akan diketengahkan secara berasingan dengan NAP adalah platform yang terbaik dan khusus untuk membincangkan tentang itu," katanya pada media selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Telekom Malaysia (YTM) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), di Cyberjaya, semalam.

Pihak berkepentingan diminta bersabar

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketiadaan insentif atau pengumuman membabitkan sektor automotif tempatan dalam Bajet 2014.

Pada Bajet 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lanjutan pengecualian cukai bagi kenderaan hibrid dan elektrik serta pengecualian duti, cukai jualan, cukai jalan, subsidi kadar faedah serta bantuan RM3,000 untuk penggantian teksi dan kereta sewa.

Namun, pada Bajet 2013 dan Bajet 2014, kerajaan bagaimanapun tidak mengumumkan sebarang insentif khusus membabitkan sektor itu meskipun pasaran menjangkakan kerajaan akan mengurangkan harga kereta secara berperingkat, sama ada menerusi penurunan duti eksais dan cukai jualan serta pelaksanaan dasar jangka hayat kenderaan.

Sehubungan itu, Abdul Wahid meminta semua pihak berkepentingan supaya bersabar kerana pengumuman mengenai NAP akan dibuat tidak lama lagi.

"Semua pihak harus bersabar dan menunggu tempoh masa yang sesuai (berkaitan dengan insentif automotif) kerana kerajaan akan mengumumkannya (NAP) pada masa yang sesuai," katanya sambil enggan mendedahkan tempoh masa pengumuman dasar baru automotif itu.

Namun, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr Rebecca Sta Maria, baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan NAP yang baru itu pada penghujung tahun ini.

Kukuh strategi pembangunan

NAP adalah dasar automotif nasional yang disemak semula bagi mengukuhkan lagi strategi pembangunan industri automotif tempatan secara lebih berkesan; memaksimumkan sumbangan jangka panjang sektor automotif itu kepada ekonomi negara;dan pada masa sama menguntungkan pengguna di Malaysia.

Difahamkan, semakan semula NAP lama dibuat di tengah-tengah kelembapan ekonomi global sebagai usaha membantu menaikkan semula taraf industri automotif tempatan supaya ia tidak akan terus ketinggalan berbanding negara lain, khususnya Thailand.

Thailand yang dianggap sebagai 'Detroit Timur' kini menjadi antara pusat kenderaan utama global dengan menawarkan pelbagai insentif cukai dan menghapuskan halangan pemilikan ke atas kilang dan anak syarikat bagi pelabur asing.

No comments:

Post a Comment