GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Fitch anggap Bajet 2014 mantapkan profil kredit


Publication: BH
Date of publication: Oct 29, 2013
Section heading: Bisnes
Page number: 002

Fitch Ratings menyifatkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam mengurangkan defisit dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah konstruktif memantapkan profil kredit negara ini.

Namun, ia berkata pelaksanaan pengurusan bajet kekal sebagai kunci utama dalam mengehadkan tekanan kredit berterusan terhadap penarafannya bagi Malaysia.

Firma penarafan antarabangsa itu berkata, Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu, mempunyai tiga pengumuman penting yang memberi manfaat kepada profil kredit.

Jelasnya, pengumuman pertama iaitu komitmen berterusan kerajaan dalam mengurangkan defisit kepada 3.5 peratus tahun depan dan tiga peratus pada 2015, mencerminkan usaha bersungguh-sungguh kerajaan negara ini dalam penyatuan kewangannya.

Kunci penstrukturan semula

"Kedua, pengurangan subsidi dan ketiga pelaksanaan GST pada April 2015 dilihat sebagai kunci utama penstrukturan semula yang akan memantapkan lagi profil kredit dengan memperluaskan asas dan mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan berkaitan petroleum.

"Namun, kita akan meneliti rekod pelaksanaan ke arah mencapai matlamat pengurangan defisit yang disokong rasionalisasi subsidi dan pengenalan GST 2015, maka penilaian penarafan kekal negatif," katanya dalam kenyataan dikeluarkan, semalam.

Mengikut Fitch, isu utama lain yang menjadi tumpuan sama ada Malaysia boleh mengelak defisit berkembar iaitu awam dan luar.

"Seperti yang dikemukakan kami, pengurangan lebihan akaun semasa Malaysia didorong sebahagiannya oleh pengurangan simpanan sektor awam dan peningkatan pelaburan.

Tekanan pasaran

"Peralihan kedudukan akaun semasa kepada defisit akan meningkatkan ketidaktentuan Malaysia terhadap kemunculan semula tekanan pasaran apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengurangkan program rangsangan ekonominya," kata Fitch Ratings.

Selain itu, syarikat penarafan itu berkata, peningkatan dalam jaminan hutang kerajaan juga menjadi sumber tekanan kepada profil hutang negara ini.

Katanya, jaminan kerajaan meningkat kepada 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akhir 2012 daripada lapan peratus pada akhir 2008.

Perkara itu antara isu kewangan awam yang dipantau Fitch selain bajet.

"Kesimpulannya, pengurangan defisit bajet terlalu bergantung kepada kekangan perbelanjaan dan rekod pengurusan bajet yang mantap dan pelaksanaannya akan menjadi tumpuan penting kepada penilaian kami," katanya.

No comments:

Post a Comment