GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Hutang dan cukai wajib ditunai


Publication: BH
Date of publication: Nov 1, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 034

Kunta Kinte nak sambung sikit lagi pasal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kerajaan cadang masa bentang belanjawan tahun depan. Ada juga orang sebut GST sebagai Cukai Jualan Am.

Ikut cadangan, GST akan ganti Cukai Jualan dan Perkhidmatan bermula pada bulan April 2015.

Ikut takrif mudah, GST dikenakan ke atas setiap urusan jual beli dalam rantaian bekalan (supply chain). Rantaian bekalan pula ditakrif sebagai sistem pemindahan barangan atau perkhidmatan daripada pembekal kepada pengguna.

Kegiatan rantaian bekalan mentrans-formasikan sumber semula jadi, bahan mentah dan komponen kepada barangan siap yang dihantar kepada pengguna terakhir.

Bagaimanapun, perniagaan yang berdaftar di bawah Akta GST akan dibagi kredit untuk setiap sen GSTyang mereka bayar dalam urusan jual beli.

Hasil daripada pembayar berperingkat inilah yang akan jadi kadar sebenar GST. Bagi GST yang dicadangkan dalam Bajet 2014, kadarnya adalah enam peratus. Maksudnya pengguna terakhir akan bayarGST sebanyak enam peratus.

Kalau ikut undang-undang dan amalan konvensional, harga barang tak akan naik akibat GST sebab setiap pihak yang terbabit dalam rantaian bekalan akan dibagi kredit kepada cukai yang mereka bayar. Tetapi ada penganalisis ekonomi kata, harga akan naik sekali bila GST dilaksanakan. Yang ini Kunta Kinte tak berapa pasti.

Ada peniaga kuat tipu

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, di negara kita masalah paling besar ialah peniaga yang kuat menipu. Pasal cari helah naikkan harga atau sorok barang-barang, peniaga kita kelas dunia.

Tak boleh cara halal mereka buat cara haram. Tak boleh depan mereka buat belakang. Buat tetap buat. Lagi-lagilah bila pihak penguatkuasaan lembik, lembab dan kadang-kadang main kayu tiga.

Walaupun kadar GST nampak lebih rendah daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan, hasil kerajaan akan bertambah sebab cukai baru ini akan dikenakan ke atas lebih banyak barang dan perkhidmatan serta lebih mudah dikutip dan susah nak tipu.

Kunta Kinte rasa yang akan jadi masalah bukan sangat cukai. Macam Kunta Kinte kata minggu lalu, kita dah ada berbagai-bagai jenis cukai. Kita dah biasa bayar cukai, duti, hasil dan yuran kepada kerajaan.

Yang jadi masalah adalah orang tak berapa percaya dan tak berapa yakin dengan cara duit cukai digunakan dan diagihkan. Ada yang kata, lagi banyak pendapatan cukai, lagi boros dan jolilah kerajaan. Itu yang kita tak mahu.

Dulu orang bangga bayar cukai. Nombor satu mereka samakan cukai dengan keberadaan. Zaman dulu hanya orang yang berada saja bayar cukai. Tak kiralah cukai apa. Ada yang bayar cukai tanah, cukai kerbau lembu dan cukai senapang. Nombor dua mereka yakin duit cukai mereka digunakan dengan baik oleh kerajaan.

Baru-baru ini kawan Kunta Kinte dari Muar cerita macam mana ayah dia sangat bangga dan taat bayar cukai tanah. Sampai saja masa bayar tanah, dia pun berpakaian segak dan kemas untuk ke Pejabat Daerah Muar.

Dalam bahasa orang Muar, berpakaian kemas dan segak dikatakan 'setop'. Tak perasan pula Kunta Kinte dari mana dan bahasa apa datangnya 'setop' tu. Masa itu, kata kawan Kunta Kinte, orang sekitar Muar panggil bandar tepi sungai itu 'padang'. Nak ke padang ertinya nak ke Bandar Maharani, Muar.

Taat bayar lesen

Allahyarham ayah Kunta Kinte pun bayar cukai tanah juga. Kalau bukan tanah milik dia, tanah milik ibu atau nenek Kunta Kinte. Tapi yang dia paling bangga dan taat bayar adalah yuran lesen senapang.

Dia ada sepucuk senapang patah satu laras yang dibagi oleh Kerajaan Inggeris masa Darurat 1948-60 sebab dia anggota pengawal kampung Home Guard. Lepas Darurat, anggota Home Guard yang ada tanah dibagi pilihan simpan senapang patah masing-masing kalau mahu.

Seminggu dua sebelum pergi ke Balai Polis Pendang untuk bayar cukai, dia akan cuci dan uji senapangnya setiap hari. Berkilat dan berminyak luar dalam sebab sebelum boleh bayar cukai, polis akan periksa dan uji dulu senjata itu. Kalau tak lulus, tak boleh bayar cukai. Silap-silap senapang kena rampas.

Bukan mudah miliki senapang. Ikut syarat, ke mana saja pemilik pergi, dia kena bawa senjatanya. Kalau tak mahu bawa atau tak boleh bawa, wajib simpan di balai polis. Setiap biji peluru wajib didaftar. Bila guna, sarung kosong kena simpan. Tak ada sarung kosong, tak boleh beli peluru ganti. Sekarang yang selalu kita dengar hilang senjata api dan peluru adalah anggota polis dan tentera.

Beberapa tahun sebelum ayah Kunta Kinte meninggal dunia, dia serah balik senapang patahnya kepada kerajaan sebab tak seorang pun anak-anaknya layak atau berminat ambil alih senjata itu.

Sekarang bukan saja nak bayar cukai liat, nak bayar hutang pelajaran pun liat. Nak bayar hutang bank pun liat. Hutang kawan lagilah. Hilang duit, hilang kawan.

Nampaknya hanya along yang boleh ajar orang liat bayar hutang. Dihambat, dicari dan dicaci macam kita hambat dan maki babi hutan yang rosakkan tanaman.

Masa hutang tak fikir. Bila dah berhutang mungkir. Dalam Islam, orang yang berhutang tu samalah dengan hamba abdi. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment