GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

GST warnai kempen lepas bajet



Publication: HM
Date of publication: Oct 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 022
Byline / Author: Oleh Syah Rul Aswari

Bajet 2014 menyaksikan kerajaan mengumumkan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat, minggu lalu berkata, GST bukan cukai tambahan baru, sebaliknya sistem percukaian menyeluruh dan saksama yang perlu dilaksanakan bagi manfaat seluruh rakyat.

Kerajaan yakin ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi semasa adalah minimum dan terkawal. Tambahan pula, GST yang sudah dilaksanakan di 160 negara dapat memperkukuh ekonomi dan meningkatkan dasar fiskal negara.

Kebetulan, bajet itu dibentangkan pada petang hari ketiga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Sungai Limau). Bagi PAS, GST yang didakwa sebagai cukai membebankan rakyat adalah 'bahan segar" kempen parti itu untuk dijaja pada pentas ceramahnya pada PRK ini.

GST akan mula dilaksanakan pada 1 April 2015, kira-kira 15 bulan dari sekarang. Namun, dari konteks PRK DUN Sungai Limau, jentera BN hanya mempunyai baki empat hari kempen bagi menangkis isu itu yang tidak henti-henti diputarbelitkan oleh pembangkang.

Di atas kertas, pelaksanaan cukai itu tidak mempunyai kesan kepada masyarakat Sungai Limau yang majoritinya golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, bagi mengelak rakyat terkeliru, jentera BN perlu turun padang untuk menerangkan isu berkaitan GST. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pada beberapa siri programnya di sini, meminta rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang.

Muhyiddin berkata, GST adalah bentuk cukai yang lebih lengkap dan teratur dan pada masa sama masyarakat berpendapatan rendah tidak menerima kesan pelaksanaannya.

Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim pula mengambil pendekatan menyalurkan maklumat kepada jentera BN supaya mereka benar-benar memahami isu terbabit.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, ini akan memudahkan petugas parti menerangkan GSTdalam bahasa mudah memandangkan majoriti besar pengundi adalah penduduk kampung.

"Petugas tidak hanya boleh merayu rakyat mengundi BN. Mereka kena mampu menerangkannya kepada pengundi supaya mereka jelas, faham dan tidak terkeliru," katanya.

Di Sungai Limau, semangkuk laksa masih dijual dengan harga RM2, manakala air teh o ais pada harga 50 sen. Realitinya, pengundi di sini tidak peduli dengan GST, tetapi apa yang mereka mahukan adalah melihat kawasan ini mengecap nikmat pembangunan seperti kawasan lain di Kedah.

No comments:

Post a Comment