GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

GST sistem percukaian yang adil


27 Oktober 2013
KUALA LUMPUR - Cukai barang dan perkhidmatan (GST) merupakan satu sistem percukaian adil kerana ia mengagihkan beban percukaian dalam kalangan kelompok penduduk secara lebih meluas berdasarkan jumlah penggunaan serta menetapkan jenis dan kuantum cukai yang perlu dibayar seseorang pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang digunakannya, kata seorang pakar.

Ketika ini, negara terlalu bergantung pada cukai pendapatan individu dan badan korporat. Daripada lebih kurang 28 juta penduduk Malaysia sekarang, tidak sampai dua juta adalah pembayar cukai pendapatan.

Prof Dr Shazali Abu Mansor daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata sistem percukaian yang diperkenalkan ini lebih telus kerana pengguna mengetahui jenis cukai yang mereka bayar serta jumlahnya.

"Orang miskin tidak perlu bimbang kerana mereka hanya membayar jumlah minimum, memandangkan mereka menggunakan barangan dan perkhidmatan perlu sahaja seperti makanan, pengangkutan dan pendidikan, yang mungkin sifar kadarnya dan pengguna tidak perlu membayar cukai tambahan.

"Jadi, cukai dikenakan terhadap mereka yang mampu berbelanja sahaja. Memandangkan golongan lebih berada dan kaya menggunakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan, maka secara automatik, merekalah yang paling banyak dikenakan cukai di bawah GST, bukan golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Bernama.

Sambil menyatakan bahawa GST sepatutnya dilaksanakan sejak lama dahulu, Prof Shazali mengingatkan pihak yang masih mempunyai keraguan supaya melihat kes kejayaan GST di seluruh dunia serta memahami betapa perlunya GST turut dilaksanakan di negara ini.

Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi(OECD), kini GST dilaksanakan di lebih 150 negara, termasuk 33 daripada 34 negara anggota OECD.

Penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata melalui pelaksanaan GST, kerajaan akan memperoleh hasil mencukupi bagi menjana pertumbuhan dan membiayai lebih banyak projek pembangunan.

"Untuk membolehkan Malaysia mencapai stautus negara maju menjelang 2020, kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap sistem percukaian sedia ada bagi memacu perniagaan dan pembangunan.

"Reformasi percukaian seperti memperkenalkan GST, mungkin mengundang banyak kritikan pada peringkat awalnya, namun dari segi ekonomi, ia merupakan suatu keputusan tepat," kata dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia ini.

Bagaimanapun, kata Dr Mohd Azizuddin, kerajaan perlu menghalang kenaikan harga barangan bagi memastikan ia tidak membebankan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Sementara itu, Prof Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak pula berkata pelaksanaan GST tepat pada masanya, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"GST merupakan satu sistem percukaian yang menyeluruh, cekap dan komprehensif, yang mana ia dapat menjana pendapatan yang baik kepada negara, tapi pada masa yang sama, tidak membebankan rakyat," katanya.

Barjoyai, yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang percukaian dan Sarjana dalam bidang Pentabiran Industri, berkata Malaysia, yang dianggap sebuah negara maju di rantau ini, akan ketinggalan jika masih mengguna pakai sistem cukai sedia ada memandangkan Indonesia, Singapura, Kemboja dan Vietnam telah lama melaksanakan GST.

Katanya pengguna harus sedar bahawa melalui pelaksanaan GST, harga sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah rendah berbanding di bawah pelaksanaann sistem percukaian cukai sedia ada kerana ia mengelakkan cukai berganda.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abd Rahman pula mencadangkan agar kerajaan melaksanakan lebih banyak aktiviti penerangan seperti forum mengenai GST di bandar dan luar bandar bagi menggelak wujudnya salah tanggapan dan kekeliruan orang ramai serta menangkis dakwaan sesetengah pihak kononnya GST akan membebankan pengguna.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan buku panduan harga yang menunjukkan perbezaan harga barangan dan perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan GST. - Bernama

No comments:

Post a Comment