GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Cukai 6 peratus perlu dilaksana berperingkat


Publication: BH
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 004

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus disifatkan tinggi dan memerlukan tempoh panjang sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata bagi memastikan GST dilaksanakan secara berkesan rakyat perlu dididik supaya mempunyai sikap integriti yang tinggi.

"Sebagai pengenalan, GST kadar enam peratus itu terlalu tinggi. Ia seharusnya dibuat secara berperingkat... mungkin bermula dengan empat atau lima peratus.

"Tempoh yang diperuntukkan juga terlalu singkat kerana rakyat perlu dibentuk untuk mempunyai sikap integriti yang tinggi untuk membayar cukai GST," katanya pada sidang media Bajet 2014, semalam.

Struktur semula cukai

Bagaimanapun, beliau menyokong cadangan kerajaan untuk menyusun semula struktur cukai pendapatan individu untuk menjadikan negara lebih kompetitif.

"Golongan berpendapatan sederhana akan mendapat impak yang besar terhadap pelaksanaan GST, justeru pengurangan satu hingga tiga mata peratusan cukai pendapatan individu akan dapat membantu mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, turut berpendapat pelaksanaan GST sewajarnya didahului dengan program pendidikan bertujuan memperincikan mekanisme dan justifikasinya.

"Jawatankuasa khas yang diwujudkan untuk memantau GST sepatutnya digantikan dengan satu agensi khusus untuk mendidik masyarakat.

"Sekiranya jawatankuasa ini dikekalkan ia perlu bertanggungjawab dalam memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan di pasaran secara mendadak hingga membebankan rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment