GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Friday, November 1, 2013

Landasan capai bajet seimbang 2020


Publication: BH
Date of publication: Oct 26, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 003

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2014 sebagai holistik dan menyeluruh seiring matlamat kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia juga menjurus kepada langkah untuk rasionalisasi subsidi dan pengurusan fiskal yang lebih baik bagi mencapai bajet seimbang menjelang 2020.

Katanya, bajet dibentang Datuk Seri Najib Razak juga menampakkan ketegasan kerajaan berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

"Dengan penjelasan Perdana Menteri tadi (di Parlimen), saya lihat pembangkang tercengang dan tidak boleh bangkit membantah kerana mereka tahu akhirnya mereka perlu terima GST. Lagipun ini masa paling sesuai kerana kadar inflasi rendah, bebanan rakyat juga tidak tinggi.

Rating kekal di tahap terbaik

"Saya yakin rating Malaysia akan terus di tahap terbaik dan mendapat keyakinan di peringkat antarabangsa, termasuk pelabur," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Muhyiddin berkata, keputusan pelaksanaan GST perlu disambut baik seluruh masyarakat kerana barangan keperluan asas turut dikecualikan GST, manakala kajian menunjukkan kesan kepada kelompok berpendapatan rendah dan sederhana adalah neutral atau sifar.

Beliau juga yakin pelaksanaan GST tidak akan memberi kesan besar kepada rakyat, malah kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan sokongan semasa peringkat peralihan, termasuk bantuan tunai sekali bayar RM300 kepada penerima isi rumah BRIM dan pengurangan kadar cukai pendapatan individu 1 hingga 3 peratus.

Tempoh kuat kuasa

"Tempoh 17 bulan sebelum GST dikuatkuasakan juga jangka masa paling sesuai untuk memberi penjelasan kepada seluruh rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tohmahan mana-mana pihak.

"Rakyat perlu diberi pemahaman kerana GST bukan cukai tambahan tetapi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sudah lama diguna pakai.

"Jika ada pandangan, kerajaan sedia dengar dan mencari jalan untuk menyesuaikannya. Inilah pendekatan yang saya rasa cukup berhemah," katanya.

Ditanya kemungkinan pembangkang menggunakan GST sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, Muhyiddin berkata: "Kita mempunyai cukup bahan untuk menentukan pengundi dan rakyat tidak terpengaruh (dengan pembangkang)."

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, berkata, peruntukkan RM54.6 bilion untuk bidang pendidikan, iaitu 21 peratus daripada keseluruhan bajet menunjukkan kerajaan terus memberi perhatian kepada sektor pendidikan negara.

Ditanya sama ada sektor swasta perlu menaikkan gaji kakitangannya berikutan pelaksanaan GST, beliau berkata, ia bergantung kepada mereka, bagaimanapun kerajaan tidak berhasrat untuk membebankan mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment