GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Bajet komprehensif, holistik dan berani - Muhyiddin


ARKIB : 26/10/2013

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2014 sebagai komprehensif, holistik serta memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara.

Menurut beliau, bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu sarat dengan keberanian politik terutama dalam aspek menangani masalah defisit selepas mengambil ketetapan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Najib kerana menyediakan peruntukan terbesar kepada Kementerian Pendidikan iaitu RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan bajet.

"Paling menarik perhatian saya adalah keberanian kerajaan dalam melaksanakan GST dan dengan penjelasan Perdana Menteri, saya lihat pembangkang pun tercengang dan tidak mampu membantah kerana mereka pun sedar GST perlu dilaksanakan.

"Sekarang adalah tempoh yang paling sesuai kerana kadar inflasi rendah, jadi kesan itu kecil. Namun, kita masih lagi memberi tempoh 17 bulan sebelum dikuatkuasakan apatah lagi dengan pengecualian terhadap banyak perkara," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya dakwaan pembangkang kadar enam peratus GST disifatkan sebagai masih tinggi, Muhyiddin berkata, peratusan tersebut realistik dan diputuskan setelah mengambil kira pandangan semua pihak serta mengkaji pelaksanaannya di sebanyak 160 negara.

Katanya, apa yang penting adalah keutamaan kerajaan memperkasa ekonomi negara melalui pelaksanaan GST tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat terutama mereka daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut Muhyiddin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak menghadapi kesan pelaksanaan GST kerana selain kajian mendalam dilaksanakan, kerajaan turut memberi tambahan RM300 secara sekali gus kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kepada soalan kemungkinan pembangkang menjadikan GST sebagai modal pilihan raya untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Muhyiddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) berkata, pihaknya sudah bersedia mematahkan segala tohmahan pembangkang.

"Kita memang ada mendengar pembangkang akan menjadikan GST sebagai modal berkempen, tetapi kita sudah bersedia dengan segala maklumat untuk dijelaskan kepada pengundi agar mereka tidak terpengaruh," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment