GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Kadar GST lebih rendah


ARKIB : 26/10/2013
Barangan makanan asas terselamat daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
sepertimana dibentangkan dalam Bajet 2014. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus, lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, GST diperkenalkan untuk menggantikan cukai jualan yang dikenakan pada kadar lima dan 10 peratus serta cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Jelas beliau, kadar GST itu juga merupakan yang terendah dalam kalangan negara ASEAN yang mana Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus manakala Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus.

"Dengan pelaksanaan GST, kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada.

"Sebagai contoh, pada waktu ini sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

"Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja," katanya ketika berucap membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum malah ada barangan yang akan menjadi lebih murah.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST.

"Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya semua harga barang akan melambung naik dan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban," ujarnya.

Perdana Menteri memberi jaminan, GST tidak akan dikenakan terhadap barangan makanan asas, bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik, perkhidmatan yang disediakan kerajaan, perkhidmatan pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta jual beli dan sewaan rumah.

Beliau turut mengumumkan pelbagai bantuan sokongan oleh kerajaan semasa peringkat peralihan pelaksanaan GST termasuk pemberian bantuan tunai secara 'one-off' sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pengurangan serta penstrukturan semula cukai pendapatan individu.

Najib berkata, kerajaan juga mencadangkan pakej tambahan kepada syarikat perniagaan seperti pengurangan kadar cukai pendapatan syarikat dan koperasi, potongan cukai bagi yuran kesetiausahaan dan pemfailan serta perbelanjaan latihan berkaitan GST, lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan dan geran latihan GST sebanyak RM100 juta.

"Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II dengan dianggotai oleh agensi kerajaan, wakil industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," jelasnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment